Baru-baru ini semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya sempat menonton satu filem tentang salah seorang Presiden Amerika Syarikat (AS) iaitu Harry S. Truman. Mendiang adalah Presiden US yang ke 33 menggantikan Franklin D. Roosevelt yang meninggal dunia pada 12 April 1945.
Truman mengambil alih pentadbiran Roosevelt ketika peperangan dunia kedua masih belum tamat. Pada 30 April 1945 Jerman berjaya ditewaskan. Sebelum dari itu sekutu Jerman iaitu Itali telah ditewaskan lebih awal. Namun Jepun tetap gagah bertahan menakluki Asia Tenggara.
Dalam satu babak di dalam filem itu Truman meminta pandangan seorang rakannya tentang rancangannya untuk menjatuhkan bom atom ke negara Jepun. Kata Truman pada rakannya, “Jepun seolah-olah sukar dikalahkan. Namun jika kita menggunakan bom atom ini mungkin akan membuatkan Jepun menyerah kalah.”
Namun rakannya sedikit membantah. Tapi sambung Truman lagi “Terlalu ramai rakyat kita yang mati dan cacat kerana peperangan ini. Jika peperangan ini berlarutan lebih ramai lagi rakyat kita yang mati dan cacat. Aku cuma bimbang satu hari nanti mereka akan menyalahkan aku. Kita ada alat (bom atom) untuk menamatkan perang. Tapi kita tak gunakan.”
Ia menggambarkan betapa sukarnya seorang pemimpin dalam membuat keputusan yang bakal menyebabkan ribuan orang mati, namun ia terpaksa dilakukan untuk menamatkan peperangan. Lalu AS pun menggugurkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos dan Nagasaki pada 9 Ogos menyebabkan Jepun akhirnya menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Dan Truman diangkat sebagai antara Presiden AS yang paling dikagumi dalam sejarah.
Saya bukan berniat untuk mengagungkan AS atau pemimpin-pemimpin barat atau membincangkan tentang kewajaran penggunaan bom atom itu. Saya cuma hendak bercerita bahawa pemimpin-pemimpin yang hebat itu lahir pada zaman krisis dan masalah. Itu adalah ukuran sebenar kehebatan seseorang pemimpin.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru sahaja mengambil alih kerajaan dari PH pada akhir Februari lepas dengan segala masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan PH. Kemudian terpaksa berhadapan dengan masalah penularan Covid-19 yang semakin meruncing.
Dengan penuh ketabahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin bersama barisan kabinet baru dengan dibantu oleh penjawat-penjawat awam yang berpengalaman terus gagah berperang dengan Covid-19 yang kini telah menyerang satu dunia.
Saya belum lahir lagi ketika zaman darurat ketika kita berhadapan dengan komunis. Namun melalui pembacaan, saya dapat simpulkan perintah kawalan pergerakan ini sebenarnya adalah yang pertama kali berlaku sebegini. Semasa zaman darurat berdepan komunis dahulu tidak semua kawasan yang terlibat dengan curfew.
Tidak pernah lagi dalam kajian saya seluruh sekolah, IPT, pejabat kerajaan dan swasta ditutup hampir sebulan seperti sekarang yang melibatkan seluruh negara. Hampir 80 peratus aktiviti ekonomi seluruh negara lumpuh sama sekali. Hanya aktiviti penting dan kritikal sahaja yang berjalan.
Sudahlah aktiviti ekonomi lumpuh yang bakal mengurangkan pendapatan kerajaan, kini kerajaan pula terpaksa berbelanja besar untuk menampung rakyat yang terjejas akibat kesan Covid-19 ini. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.
Selepas kita berjaya keluar dari wabak Covid-19 ini (insyaAllah), kerajaan bakal berdepan dengan kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 ini. Rakyat yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan-perniagaan kecil dan besar yang berdepan kerugian semuanya harus dibantu. Semua itu terletak di atas batu jemala jemaah menteri yang ada sekarang di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyidin Yasin.
Semoga Allah swt sentiasa memberi panduan dan hidayah kepada YAB Perdana Menteri dan seluruh jentera kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 dan kesan yang bakal berlaku setelah Covid-19 berjaya ditangani.
IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan Dan Media Baru PAS Melaka