Sayangi, hargai dan terus santuni anak Autisme!
Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang diraikan pada 2 April setiap tahun.
Pada zaman kini kesedaran mengenai autisme di kalangan masyarakat Malaysia sudah agak baik. Bahkan ilmu mengenai cara mengurus dan mendidik anak-anak autisme juga agak meluas dan mudah diperoleh berbanding sebelum ini.
Kita sebagai anggota masyarakat harus sedar bahawa anak-anak autisme ini bukanlah anak-anak yang pelik sehingga perlu diasingkan dari masyarakat tetapi mereka merupakan satu anugerah kepada ibu bapa yang terpilih.
Walaupun mereka berkelakuan agak lain dari kanak-kanak tipikal yang lain, namun percayalah ada kelebihan tersendiri dalam diri mereka.
Apa yang penting adalah untuk kita mempelajari sedikit sebanyak tentang kaedah untuk berinteraksi dengan mereka. Lantaran itu, kemahiran berkomunikasi dan ilmu untuk menangani tingkah laku anak-anak autisme haruslah menjadi keutamaan bagi keluarga yang memiliki anak istimewa ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 dan 28,
يَا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَماناتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ (27)
وَاعلَموا أَنَّما أَموالُكُم وَأَولادُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ (28)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui (27).
Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar (28).
Perlu diingatkan bahawa anak adalah amanah Allah Ta’ala tidak kira apa saja keadaan anak itu. Oleh yang demikian, didiklah anak-anak sesuai dengan fitrahnya. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada para ibu bapa yang dianugerahkan dengan anak-anak autisme.
YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Syaaban 1441
3 April 2020