Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

COVID-19: Antara Dosa Individu dan Musibah yang Merata

1909
SHARE

 

COVID-19: Antara Dosa Individu dan Musibah yang Merata

Dr. Ahmad Mouhyideen bin Hasin
Pengarah Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)
Dewan Ulamak PAS Pusat

Mengikut laporan World Health Organization (WHO) sehingga 29 Mac 2020, seramai 638,146 kes telah dikesan positif COVID-19 dengan 30,105 kematian di 202 negara seluruh dunia akibat virus tersebut. Amerika mempunyai kes tertinggi iaitu sebanyak 103,321 kes dengan 1,668 kematian diikuti Itali sebanyak 92,472 kes dengan 10,023 kematian dan China sebanyak 82,356 kes dengan 3,306 kematian. Di Malaysia pula, terdapat 2,470 kes dengan 35 kematian.

Angka-angka yang menggerunkan ini menggambarkan bagaimana COVID-19 telah tersebar dengan cepat ke seluruh dunia. Ia adalah merupakan bala dan musibah daripada Allah s.w.t yang seharusnya menjadi pengajaran kepada manusia.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menunjukkan dosa seseorang tidak akan ditanggung oleh orang lain bahkan dia tidak akan menerima balasan daripada Allah atas dosa yang tidak dilakukannya tersebut. Antaranya firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am; ayat 164:

وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ

Maksudnya: Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.

FirmanNya lagi dalam surah at-Tur; ayat 21:

كُلُّ ٱمۡرِىِٕۭ بِمَا كَسَبَ رَهِینࣱ

Maksudnya: Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Pun begitu, terdapat kekeliruan apabila wujudnya ayat-ayat al-Quran yang lain yang menunjukkan sebaliknya iaitu seseorang yang tidak melakukan dosa turut akan terkena balasan daripada Allah s.w.t. atas dosa orang lain. Antaranya ialah firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal; ayat 25:

وَٱتَّقُوا۟ فِتۡنَةࣰ لَّا تُصِیبَنَّ ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمۡ خَاۤصَّةࣰۖ

Maksudnya: Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Bagi menjawab kekeliruan tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa balasan Allah s.w.t. asalnya adalah hanya kepada pelakunya. Ia adalah tanda keadilan Allah kepada hambanya. Walaubagaimana pun, setiap orang bertanggungjawab dalam membina dan membentuk masyarakat yang baik. Kemungkaran yang dilakukan hendaklah ditegah dan maksiat yang dikerjakan hendaklah dicegah. Jika ia tidak ditegah dan dicegah maka masyarakat dianggap meredhainya. Oleh itu, masyarakat harus bertanggungjawab di atas dosa kemungkaran tersebut dan tidak peliklah jika Allah s.w.t. menurunkan azab dan balasanNya kepada semua.

Syeikh Ibn Ajibah (1419H) berkata: “Takutilah azab yang jika ia turun tidak hanya menimpa ke atas orang yang zalim sahaja bahkan juga kepada orang yang tidak zalim. Kemudian dibangkitkan manusia berdasarkan niat mereka seperti meredhai perkara mungkar yang berlaku di hadapan mereka, meringankan perkara-perkara yang makruf, melakukan dosa besar, mengerjakan dosa besar, menzahirkan perkara-perkara bidaah, malas dalam berjihad, melakukan perkara fardhu dan lain-lain dalam perkara dosa.

Iman Qurtubi (1964) pula berkata: “Jika zahir perkara mungkar maka menjadi kewajipan ke atas setiap orang yang melihat untuk mencegahnya. Jika mereka tidak mencegahnya maka semua orang adalah berdosa. Dosa tersebut disebabkan kerana melakukannya dan meredhainya. Allah telah menetapkan dalam hukuman dan hikmatnya bahawa orang yang redha terhadap perkara mungkar berada pada tahap yang sama dengan orang yang melakukannya. Maka balasannya juga adalah sama.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا

Maksudnya: Perbandingan orang-orang yang menegakkan batasan-batasan (syariat) Allah (melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar) dan orang-orang yang melanggarnya, bagaikan suatu kaum yang berkongsi tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka berada di bahagian atas kapal dan sebahagian lagi berada di bahagian bawah. Mereka yang berada di bahagian bawah apabila ingin mengambil air maka mereka terpaksa melalui (dan menyusahkan) orang-orang yang berada di bahagian atas. Mereka berkata: “Bagaimana jika kita membuat lubang di bahagian bawah ini agar mengganggu orang-orang yang berada diatas kita”. Jika mereka semua membiarkan orang-orang tersebut melaksanakan keinginannya, nescaya mereka semua akan tenggelam binasa. Jika mereka mencegah orang-orang tersebut, nescaya mereka telah menyelamatkan orang-orang tersebut, dan mereka semua pun akan selamat (Bukhori, 1422H).

Justeru, umat Islam seharusnya menginsafi bahawa wabak COVID-19 adalah balasan Allah s.w.t. terhadap pelaku maksiat dan mereka yang meredhainya. Kemungkaran yang berleluasa tanpa tegahan menjadi sebab kepada Allah menurunkan azabnya. Amalan kebaikan yang dilakukan tidak memadai untuk menghindari murka Allah s,w.t. tetapi mestilah juga dituruti dengan pencegahan perkara mungkar yang berlaku dalam masyarakat.