Home Berita PAS Sabah

Asnaf terharu terima bantuan makanan daripada PAS

1653
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
28 Mac 2020

SANDAKAN : Terharu namun dalam masa yang sama berbesar hati menerima bantuan makanan kelolaan PAS Sandakan yang dilaksanakan di daerah ini pagi tadi.

Demikian perasaan dikongsi ayah kepada tiga orang anak, Muslidin Asmadin, 30, salah seorang daripada ketua keluarga yang menerima sumbangan tersebut ketika ditemui semasa penyerahan berlangsung.

Dalam misi tersebut, lebih 100 keluarga asnaf dan golongan yang terputus bekalan makanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 telah dibantu oleh parti Islam itu.

Muslidin yang bekerja buruh berkata, ini kali pertama menerima bantuan daripada PAS dan menjelaskan ia merupakan masa yang tepat memandangkan bekalan makanan di rumah mereka hampir habis.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid berkata, ia merupakan kali ketiga mereka turun lapangan menyerahkan sumbangan kepada penerima yang layak sepanjang tempoh PKP.

“Setiap kali hadir menyerahkan sumbangan, ada beberapa asnaf lain yang tidak tersenarai turut datang meminta bantuan makanan daripada kami,” tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

“Hal ini amat menyedihkan kerana bekalan makanan yang kami bawa hanya cukup untuk penerima yang disenaraikan tambahan lagi kami memang kekurangan dana,” jelasnya.

Tambahnya, ekoran itu pihaknya sehingga hari ini membuka ruang kepada orang ramai untuk menyumbang wang ringgit bagi membantu misi tersebut.

“Salurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, 10043010001846 jika ada yang berhajat untuk menyumbang,” ujarnya ketika ditanya nombor akaun bank untuk sumbangan tersebut.

“PAS di seluruh negeri Sabah khususnya PAS Sandakan akan terus komited membantu kelompok terjejas ini agar mereka juga terbela sepanjang PKP ini,” jelasnya lagi.

Hadir sama dalam misi tersebut ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Mustaman Mustain, Timbalan Yang Dipertua PAS Sandakan, Ramlan Rahemen, Ketua Pemuda PAS Sandakan, Mohd Ramlan Pandi dan Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Sandakan, Nursyam Yahya.