Oleh : Shawal Ahmad
MELAKA : Prihatin dengan jasa dan pengorbanan petugas ‘barisan hadapan’ yang bertungkus-lumus dalam merawat serta membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini, PAS Kawasan Kota Melaka tampil memberikan sumbangan berbentuk KFC set lunch ke Hospital Melaka di sini semalam.
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Kawasan Kota Melaka, Noorfazilah Ismail berkata, dengan mengambil kira tugas kritikal pasukan barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19, mana-mana pihak atau NGO diseru agar membantu meringankan bebanan mereka, usaha tersebut sebagai sokongan moral kepada petugas ‘frontliner’.
“Memandangkan pergerakkan terhad mereka boleh dibantu. Mana-mana pihak yang berminat boleh berjumpa dengan pengarah hospital membincangkan keperluannya dan serahan perlu mengikut SOP dengan mengelakkan berkumpul beramai-ramai atau mendekati tempat pesakit atau tempat saringan Covid-19.’’
Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka berkata, sumbangan makanan diberi adalah sebagai motivasi kepada mereka kerana berdepan dengan keletihan, kurang waktu rehat dan bekerja dengan penuh risiko.
Dalam pada itu, beliau yang mewakili PAS Kawasan Kota Melaka juga turut mendoakan agar disembuhkan mereka yang dikuarantin di hospital tersebut serta meminta agar Allah hilangkan wabak COVID-19 di seluruh dunia dan Malaysia akan kembali kepada keadaan sedia kala.
Orang ramai juga boleh bersama PAS Kawasan Kota Melaka bagi membantu Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan dengan menghulur sumbangan kebajikan kepada masyarakat sekitar melalui akaun PAS KAWASAN KOTA MELAKA – CIMB 860 116 3036.
Turut hadir sama memberi sumbangan, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof.