Sudah menjadi kelaziman di bulan Rejab seluruh umat Islam menyambut peristiwa Israk dan Mikraj dengan penuh keimanan dan keyakinan, serta percaya kepada Allah, kekuasaan dan kebesaran-Nya, dan percaya dengan benarnya Nabi Muhammad s.a.w.
Peristiwa ini adalah ujian yang besar kepada Rasulullah s.a.w dan kepada seluruh manusia. Firman Allah s.w.t:
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ [سورة الأسراء : ٦٠]
(Maksudnya): Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.
Ujian kepada manusia kepada batang tubuh Rasulullah s.a.w tentang kebenarannya menyampaikan apa sahaja perintah Allah s.w.t termasuk perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal fikiran manusia, sama ada yang beriman yang baik, apa lagi mereka yang jahat. Ia menguji manusia seluruhnya sejauh mana mereka percaya kepada kekuasaan Allah s.w.t dan benarnya Nabi Muhammad s.a.w.
Peristiwa perjalanan yang jauh jaraknya dan yang lama masanya mengikut perhitungan manusia, perjalanan yang lebih daripada berjuta-juta tahun kelajuan cahaya, perjalanan daripada dunia sehingga hari akhirat, perjalanan daripada bumi ke langit di angkasa lepas sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia adalah perkara yang benar dilakukan oleh Allah s.w.t yang Maha Berkuasa bagi menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Rasul-Nya yang membawa Islam kepada seluruh dunia.
Apa yang menarik berlakunya Israk dan Mikraj ketika Islam ditekan dan dizalimi, ketika musuh-musuh yang berkuasa yang zalim membohongi Rasulullah s.a.w dalam keadaan tidak ada siapa yang memberi perlindungan melainkan perlindungan Allah s.w.t. Di saat yang begini rupa dilakukan Israk dan Mikraj. Disuruh pula memberitahu perjalanan yang menakjubkan itu dengan peristiwa-peristiwa yang ghaib di alam langit dan alam akhirat yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Peristiwa yang benar berlaku dalam perjalanan hidup manusia daripada dunia sehingga hari akhirat. Manusia berada di bawah kekuasaan Allah s.w.t.
Peristiwa yang menakjubkan ini untuk memberi kekuatan kepada Rasulullah s.a.w yang ditugaskan untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Bagaimana hendak menyampaikan Islam ke seluruh dunia, sedangkan di Makkah sahaja sudah menerima tentangan daripada keluarga dan bangsanya sendiri dalam tanahairnya sendiri dalam kalangan yang mengetahui benar dan baiknya batang tubuh dan akhlak Rasulullah s.a.w. Bagaimana untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia kepada orang-orang yang tidak dikenali dan tidak pernah melihatnya.
Allah s.w.t menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya bahawa bumi tempat manusia berpijak dan seluruh makhluk-Nya adalah habuk yang halus di hadapan kekuasaan Allah s.w.t. Semua kuasa-kuasa besar dunia yang mempunyai bala tentera yang ramai dan kekayaan yang melimpah ruah adalah habuk yang halus di hadapan kekuasaan Allah s.w.t.
Selepasnya Allah s.w.t memerintahkan hijrah dengan ditegakkan negara yang berdaulat di Madinah Al-Munawwarah. Lalu dikepung oleh jahiliyyah arab dan jahiliyyah di seluruh dunia. Walaupun Allah s.w.t mewafat atau mematikan Nabi s.a.w, namun Islam tidak mati dan cahayanya tidak boleh dipadamkan.
Allah s.w.t membuktikan sehingga hari ini Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia di mana sahaja ada manusia. Ini menunjukkan Israk dan Mikraj adalah dalil kekuasaan Allah s.w.t.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ١-٣]
(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.