Oleh : Haji Rafie Ahmad
Harga minyak mentah dunia sekarang ini berlegar pada harga sekitar USD32 ke USD35 setong dan dijangka akan turun lagi berdasarkan keadaan semasa yang sangat meruncing di samping isu Covid 19 yang menyerang dunia hari ini.
Paras harga ini amat merisaukan syarikat pengeluar minyak tempatan iaitu Petronas di mana sekiranya harga minyak jatuh di bawah paras USD30 setong, ia akan memberikan kesan yang bukan sedikit kepada Petronas dan vendor-vendor Petronas secara langsung dan juga kepada negara dan rakyat secara tidak langsung.
Pada pembentangan bajet 2020 yang lalu, harga minyak ditambat pada angka sekitar USD60 setong yang membolehkan pertumbuhan ekonomi negara berada pada paras sekitar 4.5%.
Dengan harga minyak semasa, sasaran pertumbuhan di atas ternyata begitu sukar untuk dicapai. Keadaan ini juga akan mengakibatkan kesan penguncupan ekonomi dunia yang agak serius.
Rakyat Malaysia tentu sekali menyambut baik penurunan harga petrol sekarang iaitu sekitar RM1.82 untuk ron 95 dan RM2.10 untuk ron 97. Namun beberapa langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengelakkan sesuatu kesulitan di masa yang mendatang.
Antara langkah yang perlu diambil perhatian ialah :
1. Hentikan membuat komitmen atau hutang yang baru bagi yang telah sedia ada mempunyai komitmen atau hutang yang banyak.
2. Perlu ada persediaan simpanan tunai sekitar 8 – 12 bulan yang meliputi seluruh komitmen tetap bulanan. Contohnya jika komitmen tetap bulanan ialah RM4,000.00 maknanya kita perlu ada simpanan sekitar RM50,000.00. Ini bagi membolehkan kita menjalani rutin kehidupan seperti biasa tanpa sebarang komitmen tambahan yang lain.
3. Jika ada lebihan, jelaskan mana-mana hutang personal yang dirasakan boleh bagi meringankan bebanan kita
4. Pembelian hartanah pada kadar yang berpatutan boleh difikirkan jika kita mempunyai lebihan wang tunai untuk dilaburkan dalam keadaan semasa. Mungkin ada di kalangan penjual yang ingin mencairkan aset mereka pada harga di bawah pasaran dan peluang ini boleh diambil jika kita berada di posisi yang selesa
5. Jangan sesekali berhenti kerja dan teruskan kerjaya semasa bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang tidak diingini melainkan jika majikan memberikan skim pemberhentian sukarela
6. Untuk orang muda, tangguhkan dulu hasrat nak tukar kereta baru atau nak tukar telefon bimbit atau gajet jenama baru melainkan betul-betul ada keperluan.
7. Bijak berbelanja dan kurangkan melancong ke luar negera jika baru nak merancang melainkan memang ada lebihan.
8. Pada ketika ini istilah ‘cash is king‘ memang bertepatan…
9. Dalam pada masa kita ingin berjimat, jangan kita berhenti pula memberi sedekah sekadar kemampuan kepada mereka yang memerlukan khususnya kaum keluarga kita kerana sedekah itu boleh menyuburkan harta kita.
Akhir sekali, mari kita sama- sama berdoa kepada Allah agar krisis ini tidak berpanjangan dan kita semua dijauhkan dari bencana Covid 19 ini.
Penulis adalah Ketua Lajnah Ekonomi
PAS Negeri Melaka