KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
JANGAN CAMPUR TANGAN KUASA KEHAKIMAN : TOMMY THOMAS TURUN
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Idrus Harun yang dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu untuk tempoh 2 tahun berkuat kuasa mulai 6 Mac 2020 susulan perletakkan jawatan oleh Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Tommy Thomas pada 28 Februari 2020 baru-baru ini.
2. Perlantikan Peguam Negara yang baharu ini diharapkan dapat membawa sinar dalam urusan pendakwaan dan kehakiman bagi memastikan segala proses menegakkan keadilan dapat dijalankan dengan baik, seimbang dan tanpa ada campur tangan mana-mana kepentingan politik. Berbeza dengan kerajaan PH sebelum ini, rekod Peguam Negara, Tommy Thomas dicemari pemilihan kes terpilih sahaja apabila kes-kes yang melibatkan pemimpin PH digugurkan begitu sahaja seperti :
i. Menarik balik tuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Sg Buloh (PKR), Ahli Parlimen Kampar (DAP), Ahli Parlimen Stampin dan ADUN Kota Sentosa (DAP), Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang (DAP), Lim Guan Eng dalam kes rasuah.
ii. Tidak mendakwa mereka yang terlibat dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun berjanji untuk berbuat demikian pada 30 September 2019.
iii. Membebaskan 12 tertuduh yang terlibat dengan kumpulan militan LTTE serta membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) atas kesalahan menunjukkan isyarat lucah.
3. Sikap PH sebelum ini telah merosakkan proses kehakiman yang akhirnya keadilan dan kebenaran tidak dapat ditegakkan. Malahan lebih teruk lagi apabila PH lebih gemar bermain persepsi dan mewujudkan polemik negatif yang akhirnya menghukum tanpa menunggu keputusan mahkamah. Sehingga kini dakwaan mereka dari sebelum PRU 14 lagi masih belum berjaya dibuktikan sehinggi kini.
4. Sedangkan Islam sangat mementingkan proses pengadilan yang seimbang dan bebas dari campur tangan pihak berkepentingan. Ini kerana ia sikap campur tangan dalam kehakiman akan menyebabkan kezaliman tersebar malahan merosakkan keharmoniaan dan kesejahteraan sesebuah negara. Disebabkan itu Rasulullah SAW memberikan peringatan menerusi sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas :
يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ”
Maksudnya :
” Sekiranya manusia diberikan setiap tuntutan dan dakwaan mereka, nescaya ramai orang akan menuntut harta dan darah kaum lain (iaitu menuntut bunuh balas), akan tetapi mestilah tuntutan itu berbukti keterangan bagi pihak yang mendakwa dan sumpah bagi orang yang tidak mengaku.” – riwayat al-Baihaqi
5. DUPP berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan (innocent until proven guilty). Justeru, Peguam Negara yang baharu diharapkan dapat menjalankan tugas sebaiknya untuk meneruskan kes-kes yang telah dijalankan sebelum ini dalam keadaan bebas dari sebarang campurtangan serta dapat membuka kembali kes-kes terpilih yang telah digugurkan oleh Tommy Thomas disebabkan kepentingan yang melibatkan pimpinan PH. Pengadilan tetap mesti diberikan kepada semua pihak tanpa mengira sebarang kepentingan politik mana-mana pihak.
Firman Allah SWT :
۞ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰمِینَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَاۤءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰۤ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَ ٰلِدَیۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِینَۚ إِن یَكُنۡ غَنِیًّا أَوۡ فَقِیرࣰا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلۡهَوَىٰۤ أَن تَعۡدِلُوا۟ۚ وَإِن تَلۡوُۥۤا۟ أَوۡ تُعۡرِضُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣰا
Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” – [Surah An-Nisa’ 135]
Sekian.
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)