TAMBUN: Ahli PAS jangan meminta jawatan, bukan dikalangan kita orang yang meminta-minta meskipun di buka ruang dan peluang, melainkan ditawar dan dipilih.
Demikian tegas peringatan, Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rusdi Saad dalam ucapannya di program mingguan Tafaqquh Fiddin Zon Tg. Rambutan di sini, semalam.
“Jika kita diberi jawatan, maka terimalah dengan redha dan laksanakan dengan baik, bukannya dengan sombong dan bongkak.
“Jaga niat perjuangan Islam dengan betul-betul, jangan pernah berubah niat kerana dalam keadaan hari ini, pelbagai fitnah boleh timbul, ahli PAS jangan harap jawatan andai jika tarbiah,” ujarnya di hadapan lebih 300 jemaah.
Dalam pada itu, peringatnya lagi adalah tentang umat Islam mesti bersatu dalam mendepani apa jua cabaran dan rintangan daripada pihak musuh terutamanya orang kafir.
“Antara ciri orang kafir ialah mereka tidak akan senang duduk diam ketika umat Islam menang dan bersatu. Mereka akan sentiasa berusaha memecahbelahkan kesatuan umat Islam melalui pelbagai cara apa sekali pun.
“Di zaman Rasulullah, baginda sentiasa ditawarkan jawatan dari musuh Islam terutamanya Abu Lahab sebagai usaha untuk menyekat dakwah baginda.
“Ahli PAS kecundang antaranya adalah kerana mereka menginginkan jawatan tetapi tiada tarbiah yang jitu dalam diri,” tempelaknya.
Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa ahli PAS mesti memahami konsep jual beli yang telah ditawarkan Allah untuk semua orang beriman agar terlepas dari seksaan akhirat.
“Ahli PAS mesti memahami konsep jual beli antara orang mukmin dengan Allah iaitu untuk menjadi seorang pejuang. Yakinlah, Allah akan mengira segala tindakan yang kita telah lakukan walau sekecil-kecil perkara.
“Setiap pejuang dan pendokong PAS mestilah tetap pendirian (Thabat) sangat penting untuk diamalkan demi menjaga kemuliaan diri dalam aspek berjemaah,” ujarnya.