Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Hentikan Kezaliman Terhadap Orang Islam di New Delhi

5780
SHARE

Hentikan Kezaliman Terhadap Orang Islam di New Delhi 

1. Sewaktu rakyat Malaysia berhadapan dengan kemelut politik yang mendebarkan, negara India pula berhadapan ketegangan permusuhan antara penganut agama Hindu dan Islam. Ketegangan ini bermula apabila seorang ahli politik yang bernama Kapil Mishra yang mewakili parti Nasionalis Hindu mengadakan perarakan menentang himpunan aman yang kebanyakannya di hadiri oleh wanita. Himpunan aman ini diadakan bagi membantah undang-undang baru kewarganegaraan India yang membenarkan pendatang tanpa izin diterima dengan mudah asalkan bukan beragama Islam.

2. Biarpun ketegangan hanya berlaku di New Delhi, namun dibimbangi ianya akan merebak ke seluruh India kerana presiden India, Narendra Modi sudah lama meniupkan api kebencian kepada golongan Muslim di seluruh India. Malahan sikap double-standard Modi terserlah dengan undang-undang yang membatalkan autonomi Kashmir yang sebelum ini dilaksanakan. Untuk rekod, Narendra Modi pernah terlibat dengan ketegangan yang berlaku ketika beliau  menjadi Ketua Menteri Gujarat yang mengakibatkan kematian 790 orang Muslim dan 290 orang Hindu.

3. Yang menjadi persoalan sekarang, mengapa polis di New Delhi tidak bertindak meleraikan ketegangan sebaliknya membiarkan sahaja umat Islam dibantai oleh orang awam? Tidakkah ia menggambarkan ketidak adilan yang berlaku di India? Lajnah Antarabangsa DMPM amat kesal dengan kejadian tersebut dan mengharapkan kerajaan India tidak membiarkan sahaja perkara ini terus berlaku.

4. Lajnah Antarabangsa DMPM  menggesa agar kerajaan India bertindak lebih proaktif dan tegas dalam menangani golongan ekstrimis demi memastikan keselamatan seluruh warganya dan tidak hanya membiarkan samseng jalanan berleluasa dan menguasai New Delhi.  Selain itu, pemerintah India diharapkan lebih serius dalam memastikan keselamatan penganut Islam yang khabarnya ditindas ketika berhadapan ketegangan ini. Biarpun penduduk Muslim cuma 14 peratus berbanding Hindu 80 peratus namun mereka adalah warganegara India.

5. Lajnah Antarabangsa DMPM juga amat mengharapkan warga Malaysia dapat sama-sama mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di India. Semoga dengan doa kita dapat membantu kehidupan mereka yang semakin terancam.

Husna Dato’ Hashim

Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Muslimat PAS Malaysia

#LajnahAntarabangsa
#Islambersaudara
#IslamMemimpinWanitaSejahtera