KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
28 JUMADAL AKHIRAH 1441H l 22 FEBRUARI 2020
LTTE : TINDAKAN PEGUAM NEGARA ANCAM KESELAMATAN NEGARA
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius isu berhubung Peguam Negara, Tommy Thomas yang melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk memberhentikan prosiding terhadap 12 individu dalam perbicaraan kerana didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkuatkuasa serta merta pada 21 Februari 2020, semalam.
2. Pengaruh kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam atau lebih dikenali dengan singkatan LTTE adalah bahaya dan memberi ancaman kepada individu, masyarakat malah negara. LTTE merupakan organisasi gerila yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka bagi mendapatkan tanah air bebas di utara dan timur pulau itu yang didiami majoriti penduduk berketurunan Tamil.
3. Institusi kehakiman sewajarnya menjadi tempat keadilan ditegakkan dan memastikan sebarang tindakan yang jelas salah dan membahayakan disekat dengan peruntukan kuasa yang sedia ada. Jika institusi kehakiman dikuasai demi kepentingan politik tertentu maka ia akan menyebabkan kezaliman dan huru hara boleh terjadi. Jika benar ini terjadi, maka kehancuran dan kemusnahan akan berlaku sebagaimana peringatan dari hadith oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya :
“Apabila hilangnya amanah maka nantikanlah kehancuran. Berkata sahabat : Bagaimana hilangnya amanah wahai Rasulullah? Bersabda Baginda SAW : Apabila urusan diserahkan pada bukan ahlinya maka nantikanlah kehancuran” – riwayat al-Bukhari
4. Islam juga amat menitik beratkan soal keselamatan negara dari sebarang unsur yang boleh mendatangkan huru hara kepada masyarakat dan negara. Ini jelas apabila Islam diperintahkan mempertahankan hak dengan memerangi sebarang keganasan yang dilakukan ke atas agama Islam dan juga orang yang tidak bersalah.
Firman Allah SWT :
وَقَـٰتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِین
Maksudnya :
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” – Surah al-Baqarah : 190
5. DUPP mendesak jaminan dari Peguam Negara bahawa dengan pembebasan 12 tertuduh yang mempunyai kaitan pengaruh dan hubungan dengan LTTE ini tidak memberikan ancaman dan selamat dari huru hara yang mungkin boleh berlaku. Sekiranya tiada jaminan, tindakan Peguam Negara jelas adalah suatu tindakan yang terpilih terhadap satu-satu kes demi kepentingan tertentu yang mengundang kemarahan rakyat umum.
Sekian.
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat