Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : PPSMI – Lain Yang Sakit, Lain Yang Dirawat

952
SHARE

Baru-baru ini saya membaca satu rencana tulisan AJK Dewan Ulama PAS Melaka, Dr Azman Yusof bertajuk “PPSMI – Kerajaan Harus Ambil Kira Pandangan Pakar” yang disiarkan dalam Harakah terbaru.

Dalam rencana itu Dr Azman Yusof menulis :-

“Dasar ini dimansuhkan setelah dapatan daripada kajian menunjukkan bahawa ia lebih banyak memberi impak negatif berbanding positif. Umpamanya melalui penarafan ujian antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) didapati prestasi pelajar menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia pada 2007 dan 2011, selain pencapaian Malaysia turut merosot bagi program penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

“Di samping itu, kajian yang dibuat oleh DBP, UKM, PEMBINA, UPSI dan lain-lain terhadap dasar ini juga menunjukan ‘trend’ menurun yang sama. Sebaliknya, Laporan TIMSS pada tahun 2015 iaitu selepas PPSMI dimansuhkan menunjukkan prestasi meningkat berbanding sebelumnya.

“Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hassan sebagaimana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian mengatakan bahawa pelaksanaan PPSMI pada tahun 2003-2012 telah merosakkan masa depan hampir 3 juta murid, terutama anak Melayu luar bandar hingga usaha meramaikan nisbah penguasaan bidang sains dan matematik 60:40 tidak kesampaian. Fakta ini turut disokong oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila mengatakan bahawa dasar ini telah menyebabkan 80 peratus kemerosotan pembelajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.”

Jadi melalui tulisan Dr Azman ini kita tahu bahawa rupanya memang sudah ada kajian yang menunjukkan kesan yang buruk terhadap perlaksanaan PPSMI ini. Ia adalah kajian, bukan sekadar persepsi.

Pada saya isu yang sebenarnya ialah masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar kita. Dan kita tidak kata Bahasa Inggeris itu tidak penting. Memang sangat penting.

Masalahnya ialah pada Bahasa Inggeris, mengapa pula subjek Sains dan Matematik yang dibega-begakan? Mengapa tidak kita perbaiki kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) Bahasa Inggeris kita sekarang?

Saya lihat banyak di luar sana institut-institut yang mengajar berbagai-bagai kaedah efektif menguasai bahasa Inggeris. Ramai orang-orang dewasa di kalangan eksekutif yang mengambil kursus-kursus sebegini untuk menguasai bahasa Inggeris. Ramai di antara mereka yang memang berjaya menguasai bahasa Inggeris dalam waktu yang singkat melalui modul-modul ini.

Buatlah kajian terhadap modul-modul yang banyak dalam pasaran ini. Mana yang betul-betul efektif ambillah untuk dijadikan P&P di sekolah-sekolah.

Yang sakit penguasaan Bahasa Inggeris, jangan Sains dan Matematik pula yang dirawat. Nanti salah makan ubat, silap-silap boleh hilang nyawa.

Ibnu Janie
Editor Berita PAS Melaka