Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ketua Muslimat PAS Ziarah 5 Waris AsSyahid Tahfiz Ittifaqiyyah Dalam Satu Malam

1238
SHARE

Ketua Muslimat PAS Ziarah 5 Waris AsSyahid Tahfiz Ittifaqiyyah Dalam Satu Malam

14 Februari 2018, Kuala Lumpur:Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah Dato’ Keramat lima bulan lalu terasa seolah-olah baru berlaku semalam. 21 orang anak syurga yang syahid, sentiasa segar dalam ingatan terutama di pihak keluarga masing-masing.

Pada 6 Februari 2018 yang lalu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Zurina Din telah meluangkan masa satu malam untuk menziarahi keluarga anak-anak tahfiz yang syahid, yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Ziarah bermula selepas Maghrib di Kampung Baru, iaitu keluarga AsSyahid Muhammad Hazim Ahmad. Rombongan sampai sebaik sahaja bilal masjid berdekatan selesai melaungkan azan. Rombongan ziarah DMPM disambut baik oleh kedua ibu bapa AsSyahid Hazim.

Pada ketika ini, hati seorang ibu mula terasa sayu mengimbau kembali kisah yang berlaku. Air mata tidak mampu dibendung namun tetap bersemangat untuk berkongsi kenangan indah bersama AsSyahid.

DMPM meneruskan ziarah kedua ke rumah AsSyahid Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan dengan bantuan Encik Ahmad.

Kedatangan rombongan DMPM Memang dinanti-nantikan oleh ibunya Datin Hartini di kedai makan Tini Corner di Kampung Baru. Sebaik sahaja sampai, Datin Hartini membawa rombongan DMPM melihat sekitar kedai yang juga dijadikan tempat mengaji bagi anak-anak tahfiz.

Datin Hartini sempat berkongsi cerita berkenaan Allahyarham anaknya yang tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum meninggal dunia.

Datin Hartini menunjukkan gambar anak-anak syahid semasa kali terakhir menyambut ulang tahun anaknya yang ke 12.

Satu perkara yang mengkagumkan, Datin Hartini telah menggunakan wang sumbangan orang ramai dengan mewakafkan rehal yang tertulis nama-nama AsSyahid Tahfiz Ittifaqiyyah.

Selain itu, beliau menunjukkan beberapa produk yang dihasilkan beliau dengan mengambil sempena nama anak beliau. Ziarah berakhir dengan penyerahan sumbangan daripada DMPM.

Pada ketika itu, suasana mula terasa sayu apabila Ustazah Nuridah juga tidak dapat membendung rasa sayu di hati beliau lalu mengalir air matanya apabila terpandang wajah AsSyahid Ridzuan, seiras Allahyarham anaknya yang syahid pada usia sama.

Ziarah diteruskan ke rumah ketiga, walaupun jam sudah menunjukkan 10.30 malam. Namun, demi amanah untuk menyampaikan sumbangan orang ramai yang berada di tangan, rombongan DMPM terus bergerak ke Pangsapuri Bunga Raya, Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Sewaktu tiba, ayah kepada AsSyahid Ahmad Harith Adam sudah menunggu di lobi pangsapuri. Pada mulanya, Ustazah Nuridah bercadang menyerahkan sahaja wang sumbangan di situ, namun ditolak kerana ahli keluarganya yang lain sedang menunggu di rumah.

Sungguh ramah ayah AsSyahid Ahmad Harith bercerita berkenaan anaknya yang merupakan satu-satunya anak lelaki tunggal yang comel, rajin, pandai memasak dan pandai bergaul. Kehilanganya amat terkesan di hati mereka sekeluarga.

Ayahnya mengulang-ulang kata-kata yang biasa digunakan oleh AsSyahid Harith Adam. Rombongan ziarah dapat merasakan betapa mendalamnya kasih sayang dan kerinduan seorang ayah. Diceritakan juga karenah AsSyahid ketika mahu memasuki tahfiz, sangat mendesak dan tidak sabar seolah-olah ada sesuatu yang menantinya di situ.

Rumah terakhir ialah rumah adik Indra Kurniawan, antara pelajar tahfiz yang terselamat namun mengalami kecederaan yang agak parah di badan. Ketika rombongan DMPM sampai di rumahnya, adik Indra Kurniawan baru sahaja kembali ke tahfiznya.

Menurut ahli keluarganya, adik Indra cedera parah di bahagian belakang. Walaupun hanya terkena bahang api, tetapi kepanasan tersebut sudah cukup untuk membakar kulitnya. Sebelum beredar, rombongan menyerahkan sumbangan pada keluarga adik Indra.

Ziarah serta serahan sumbangan selesai sekitar 11.30 malam namun sebaik sahaja Ketua Muslimat dan rombongan ingin menamatkan sesi ziarah, beliau menerima WhatsApp daripada Encik Abdullah iaitu ayah kepada AsSyahid Muhammad Haikal.

Beliau menyatakan sedang menunggu kedatangan rombongan DMPM. Ustazah Nuridah meraikan dan memutuskan untuk meneruskan ziarah, iaitu ke rumah AsSyahid Muhammad Haikal.

Ketika rombongan DMPM sampai, jam menunjukkan 10 minit lagi ke 12 tengah malam. Ziarah dilakukan dengan pantas bagi menghormati waktu rehat tuan rumah. Selepas penyerahan sumbangan, rombongan terus beredar.

Ahli rombongan berasa lega kerana dapat menyerahkan sumbangan kepada pihak berkenaan dan ucapan penghargaan kepada para penyumbang yang memberikan kepercayaan kepada LKK DMPM. Semoga semuanya diterima Allah sebagai amal soleh.