Home Berita PAS Pusat

Kedah: Kerajaan Islam Pertama Di Tanah Melayu

4962
SHARE
Gambar sekadar hiasan

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020
Entri 10

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

KEDAH: KERAJAAN ISLAM PERTAMA DI TANAH MELAYU


KEDAH dikatakan antara negeri terawal yang menerima Islam di Tanah Melayu. Bahkan, peng-Islaman Kerajaan Kedah pada 531H (1136M) adalah lebih awal daripada Kelantan (1181M), Melaka (1262M), Samudera-Pasai (1267M), Terengganu (1303M) dan Champa (1360M). Setelah pembentukan Kerajaan Islam Perlak (840M), secara berperingkat, negeri-negeri Melayu di sebelah utara telah menerima Islam sehingga terbentuk kerajaan-kerajaan Islam dan terlaksananya syariat. Islam dikatakan telah masuk ke Kedah sejak awal abad kesembilan Masehi, iaitu sezaman dengan pembentukan Kerajaan Islam Perlak pada 840M. Namun begitu, setelah kedatangan para pendakwah dan pedagang dari Arab dan Parsi, memasuki abad ke-12, baharulah Kerajaan Kedah dapat di-Islamkan dengan peng-Islaman Sultan Mudzaffar Shah pada tahun 1136M. Sejak itu, Kedah mula dikenali sebagai sebuah negeri Islam yang memakai gelaran Darul Aman.

Kedah dikatakan telah menerima kunjungan para pedagang Arab sejak sekian lama. Bahkan, ramai ahli geografi, pengembara dan pelayar Arab mencatatkan Kedah sebagai “Kalah” atau “Kilah” dalam catatan mereka. Antara mereka termasuklah Ibnu Khurdadhbeh (844-848M), Sulaiman (851M), Ya’qubi (857-880M), Abu Zaid (916M), Abu Dhulaf (940M) dan al-Mas’udi (943M). Kedah dicatatkan oleh mereka sebagai sebuah negeri yang berada di bawah naungan Raja Zabaj atau Sribuza (Seriwijaya). Hal ini disebut oleh Ibnu Khurdadhbeh dalam kitab ‘al-Masalik wa al-Mamalik’ dan juga ‘Kitab Akhbar al-Sin wa al-Hind’ oleh Abu Zaid as-Sirafi. Di kalangan orang Arab, Kedah sering disebut sebagai ‘as-Sayf al-Hind’ kerana kemasyhuran pedang buatannya yang digunakan oleh bangsa Arab untuk berperang. Hubungan perdagangan Arab dengan orang Melayu (Kedah dan Aceh) terbukti daripada rakaman al-Quran dalam Surah al-Quraisy dan juga Surah al-Insan tentang negeri Barus (Aceh) yang mengeluarkan kafur (wangian) untuk orang Arab.

Dengan latar belakang hubungan Arab-Kedah inilah, kemasukan Islam berlaku lebih awal di Kedah berbanding tempat lain. Ada empat bukti terawal yang merekod kedatangan Islam ke Kedah, pertama, penemuan artifak berbentuk sekeping batu di Gunung Jerai yang tercatat perkataan “Ibnu Sirdhan” bertarikh 214H (829M). Kedua, penemuan sebuah artifak mata wang perak yang tercatat nama Khalifah Daulah Abbasiyah, al-Mutawakkil (847-861M) di Lembah Bujang; ketiga, catatan al-Mas’udi tentang kedatangan hampir 200,000 orang Arab dan Parsi yang beragama Islam dari Kanfu (Canton atau sekarang Guangzhou). Pergolakan politik yang berlaku di Kanfu itu telah menyebabkan para pedagang Islam berhijrah ke Kedah dan Palembang pada tahun 877 Masehi. Dan keempat, penemuan batu nisan milik Sheikh Abdul Qadir Ibnu Hussein Syah Alirah di Tanjung Inggeris pada 1962 yang mencatatkan tarikh 3 Rabiul Awwal 291 Hijriyah (24 Januari 904 Masehi).

Selain empat catatan ini, kronik-kronik tentang sejarah Kedah seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan at-Tarikh Silsilah Negeri Kedah turut merekodkan kemasukan Islam dan peng-Islaman rajanya. Kedua-dua teks ini mencatatkan bahawa Islam telah dibawa masuk ke Kedah oleh Sheikh Abdullah Yamani, yang berhasil meng-Islamkan Raja Kedah, Phra Ong Mahawangsa (atau Maharaja Derbar Raja menurut at-Tarikh) pada 531H (1136M). Raja Kedah kemudiannya diberi nama sebagai Sultan Mudzaffar Shah (1136-1179), iaitu keturunan Raja Mahapudisat, raja Kedah yang pertama. Sultan Kedah telah memakai gelar “Zillalullahu fi al-A’lam” (Bayangan Allah di Dunia) yang menunjukkan bahawa negeri Kedah secara rasmi telah menjadi sebuah negara Islam.

Mahyuddin Yahya mengatakan Sheikh Abdullah Yamani yang meng-Islamkan Kedah adalah orang yang sama dengan Sheikh Abdullah Arif, pengarang kitab tasawuf, Bahar al-Lahut pada 1177 Masehi, yang dikatakan kitab Islam pertama dikarang di Alam Melayu. Sedangkan menurut Wan Mohd Saghir, Sheikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani adalah orang yang berbeza, tetapi hidup di Kedah sezaman dengan Sheikh Abdullah Arif di Aceh. Sheikh Abdullah al-Qumairi disebut dalam Sejarah Kedah Sepintas Lalu telah datang berdakwah bersama 11 orang pendakwah lain, sehingga Islam mulai berkembang secara meluas di negeri ini dan Kedah telah berdiri sebagai negara Islam pertama di Tanah Melayu.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
13 Jamadil Awal 1441
10 Januari 2020