MENURUT Dasar Perumahan Negara 2018-2025, kerajaan mensasarkan pembinaan rumah mampu milik dengan menekankan perancangan, pembangunan dan pengurusan perumahan yang sistematik, berkualiti, inklusif, cekap dan mampu dimiliki oleh rakyat, bagi menjana habitat yang mampan dan berdaya huni.
Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menetapkan harga rumah mampu milik sekitar RM160,00.00 hingga RM180,00.00 mengikut kawasan dan lokaliti bandar atau luar bandar.
Melihat kepada situasi kerancakan pemaju di Sarawak membina projek perumahan, khususnya di bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri memperlihatkan kadar tawaran rumah yang dibina melepasi kadar mampu milik sebaliknya hanya mampu lihat bagi golongan anak muda juga segmen B40.
Dewan Pemuda PAS Sarawak melalui carian dan dapatan berkaitan isu pemilikan rumah mampu milik bagi golongan anak muda mendapati harga rumah yang ditawarkan oleh pemaju hanya serendah RM250,00.00 dan ke atas. Apa yang mengecewakan kami adalah, tiada inisiatif atau usaha yang serius oleh kerajaan mahupun pemaju bagi menjamin akan kebolehupayaan anak muda Sarawak memiliki rumah sendiri.
Sebagai contoh, dalam carian di dalam laman sesawang rumahsarawak.com dan beberapa lagi carian mendapati kadar harga rumah paling rendah di Bintulu RM300,00.00 juga RM270,00.00 di Samarahan, manakala di Sibu sekitar RM268,00.00 dan kawasan pinggir Kuching iaitu di MJC mendapati rumah yang ditawarkan sekitar RM295,00.00. Ini jelas membuktikan Dasar Perumahan Negara jauh tersasar dari matlamatnya khasnya bagi anak muda di Sarawak.
DPPNS mengikut laporan Menteri bertanggungjawab menyatakan nilai rumah yang tidak terjual kini mencecah RM22.5 bilion. Walaupun 73 peratus adalah rumah mampu milik yang bernilai RM250,000 ke atas, namun masih ramai yang belum layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan bagi membeli rumah tersebut.
Ini kerana sektor pekerjaan yang ditawarkan kepada anak muda dan kadar pendapatan sangat tidak munasabah, tambahan lagi menyukarkan anak muda untuk mendapatkan pembiayaan dari pihak bank kerana institusi kewangan telah meletakkan syarat yang ketat dalam mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan. Ia seolah-olah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kepada golongan anak muda.
Apa yang menggusarkan kami lagi, satu laporan dan piawaian antarabangsa mengkategorikan rumah kediaman di Malaysia sebagai ‘sangat tidak mampu milik’, demikian menurut kajian yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Universiti Harvard. Manakala Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin, berkata kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baru dibangunkan berikutan harganya di luar keupayaan kewangan mereka termasuklah golongan anak muda termasuk di Sarawak.
Berdasarkan sumber daripada Jabatan Statistik Malaysia, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan BNM, harga bagi rumah mampu milik di seluruh Malaysia perlu ditawarkan pada harga maksimum RM282,000 untuk isi rumah berpendapatan median atau penengah sebaliknya rumah mampu milik yang ditawarkan sekarang dalam pasaran ialah RM298,000.00. Persoalannya, adakah kedua-dua kadar harga itu membolehkan golongan anak muda yang berpendapatan kurang dari RM3000.00 mempu memiliki rumah dengan harga itu?
Melihat kepentingan dan kelangsungan hidup golongan anak muda, Pemuda PAS Sarawak mendesak pihak Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dan pemaju perumahan agar serius menangani permasalahan anak muda Sarawak dalam pemilikan rumah. Agar isu ketidakmampuan membeli rumah mengikut kadar kemampuan dapat diatasi serta berharap pihak berkuasa meneliti isu ketidaksepadanan penawaran dengan pemintaan harga rumah mengikut lokasi. Terakhir memohon supaya pihak berwajib dan agensi yang terlibat agar memantau industri perumahan dalam menawar dan membina rumah supaya ia bertepatan dengan hasrat dan inspirasi golongan anak muda untuk memiliki rumah idaman.
MOHD. KAZMAN NOORDIN
Ketua Penerangan Pemuda PAS Sarawak