Home Berita PAS Melaka

SAMBUTAN AMBANG TAHUN BARU – MENYUSAHKAN ORANG MASJID TANAH!

1134
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

“Menyusahkan betul!” Itu komen seorang penduduk Masjid Tanah yang kami temui apabila mengulas tentang penganjuran Sambutan Malam Ambang Tahun Baru 2020 yang diadakan di jalan raya utama di tengah-tengah Pekan Masjid Tanah malam ini.

Program yang berlangsung betul-betul di jalan utama simpang lampu isyarat jam besar Masjid Tanah itu menyebabkan mereka yang datang dari Melaka menghala ke Lubok China dan kampung Air Limau terpaksa melalui jalan lencongan yang sesak kerana perubahan trafik.

Jalan ditutup semenjak malam semalam lagi kerana urusan pemasangan khemah utama dan gerai-gerai peniaga. Antara jalan yang ditutup ialah bermula dari Petronas Masjid Tanah sehingga ke simpang ke Tanjung Bidara – Lubok China. Ini telah menyebabkan kesesakan teruk pada siang tadi.

Tinjauan kami mendapati pada sebelum maghrib tadi jalan yang ditutup telah dipendekkan bermula dari Masjid Sultan Abdullah dan berakhir sebelum Balai Polis Masjid Tanah.

Siang tadi pengguna media sosial di Masjid Tanah rata-rata melahirkan rasa marah dengan kesesakan yang berlaku akibat penutupan jalan utama sehingga mendorong pejabat ahli parlimen Masjid Tanah mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara ini.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah dalam kenyataannya menegaskan bahawa penganjur bagi sambutan ini ialah HABAJ VISION SDN BHD. Pihak Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah menjelaskan bahawa mereka hanya terlibat dalam urusan surat-menyurat kepada agensi kerajaan yang berkaitan.

Namun begitu kenyataan tersebut hanya mengundang kemarahan netizen yang menganggap kenyataan itu sebagai tindakan ‘lepas tangan’.

Seorang lagi penduduk yang kami temuramah, Fahmie (bukan nama sebenar) melahirkan rasa kecewa kerana menurut beliau di sekitar Masjid Tanah ini ada banyak lagi lokasi yang sesuai untuk diadakan karnival sambutan seperti ini. Namun menurut Fahmie, pihak penganjur secara tidak cerdik memilih kawasan jalan utama juga sebagai lokasi program sehingga terpaksa menutup jalan dan menyusahkan orang ramai.

“Kalau mereka buat di kawasan stesen bas pun tak mengapa. Tutuplah jalan ke stesen bas. Kenapa perlu buat di tengah-tengah jalan besar dan tutup jalan?” Tambah Fahmie lagi melahirkan kekecewaannya atas apa yang berlaku.