Tazkirah Pimpinan
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
26 Rabi’ul Akhir 1441H l 23 Disember 2019
GERHANA TANDA KEKUASAAN ALLAH SWT KE ATAS PERATURAN ALAM
▪️Pengenalan
Malaysia bakal menyaksikan satu fenomena alam iaitu Gerhana Matahari Cincin ataupun Gerhana Matahari Anulus. Fenomena Gerhana Matahari Anulus merupakan peristiwa yang jarang berlaku. Kali terakhir ia berlaku dalam negara kita adalah pada 22 Ogos 1998, iaitu 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor.
Fenomena gerhana merupakan fenomena alam yang unik dan menjadi satu keajaiban khusus di zaman terdahulu kerana kejadian alam berubah dari keadaan yang biasa. Apatah lagi jika gerhana matahari ia berlaku apabila bulan melalui antara bumi dan matahari dengan melindungi matahari.
Bezanya pada Gerhana Matahari Cincin dengan Gerhana Matahari Penuh ialah daripada segi keadaan bulan yang melindungi matahari. Pada model bumi sfera, dalam fonomena cincin, bulan tidak menutupi matahari sepenuhnya dan nampak seperti cincin.
▪️Gerhana : Tanda Kekuasaan Allah, Bukannya Khurafat
Dari perspektif Islam, kejadian fenomena alam seperti gerhana matahari juga pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW. Pada asalnya masyarakat jahiliyyah mengait kejadian pelik fenomena alam dengan kepercayaan khurafat seperti berhubung kait hidup dan matinya seseorang.
Lantas kepercayaan khurafat di zaman jahiliyyah ini dihapuskan oleh Islam dengan sabdaan Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah yang berbunyi :
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَيَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُم ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوْا، وَصَلُّوْا، وَتَصَدَّقُوْا.
“Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua (tanda) dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karena kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan seseorang. Oleh kerana itu, jika kalian melihat hal tersebut maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, bertakbir, solat dan bersedekah”. – riwayat al-Bukhari dan Muslim
Malah Islam mengajar manusia bahawa setiap kejadian dan peraturan alam ini semuanya berlaku dengan kekuasaan dan izin Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah, malah Allah Maha Berkuasa mengadakan apa apa sahaja tanpa siapa yang mampu menegah-Nya.
Disebabkan itu, apabila manusia gerun kepada makhluk tanpa gerun pada Allah yang akhirnya manusia meletakkan sesuatu mampu memberi kesan sedangkan Allah jualah yang menentukan sesuatu di sinilah timbulnya kepercayaan yang khurafat. Maka manusia semestinya kembali kepada Allah SWT, bukannya kepada alam dengan kepercayaan yang karut apatah lagi menyembah selain-Nya.
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ ٣٧
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.” – [Surah Fussilat: 37]
▪️Alam Menurut Peraturan Allah, Mengapa Manusia Tidak?
Gerhana menjadi bukti bahawa sesuatu yang berlaku di bawah kekuasaan Allah SWT. Sama ada fenomena gerhana mahupun peraturan siang dan malam yang merupakan perstiwa setiap hari dalam kehidupan manusia.
Malah Allah menerangkan bagaimana alam ini tunduk pada kekuasaan-Nya yang menjadikan alam ini dalam keadaan teratur tanpa berlaku sebarang kerosakan.
Lihat bagaimana peraturan kedudukan matahari dan peredaran bulan yang natijahnya pertukaran malam dan siang dalam keadaan sistematik dan teratur menerusi firman Allah yang berbunyi :
وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِی لِمُسۡتَقَرࣲّ لَّهَاۚ ذَ ٰلِكَ تَقۡدِیرُ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡعَلِیمِ * وَٱلۡقَمَرَ قَدَّرۡنَـٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلۡعُرۡجُونِ ٱلۡقَدِیمِ * لَا ٱلشَّمۡسُ یَنۢبَغِی لَهَاۤ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّیۡلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِۚ وَكُلࣱّ فِی فَلَكࣲ یَسۡبَحُونَ
Maksudnya :
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. – [Surah Ya-Seen 38 – 40]
▪️Kerosakan Berlaku Apabila Manusia Meninggalkan Peraturan Allah
Hasil dari pengamatan ayat-ayat Allah yang menerangkan mengenai kejadian dan peraturan alam, maka ketahui bahawa ayat Allah mempunyai dua kategori iaitu :
1. Ayat yang dibaca آية المقروؤة
2. Ayat yang yang disaksikan / diperhatikan آية المشاهدة / آية المنظورة
Kejadian alam merupakan ayat yang diperhatikan agar manusia mengambil pengajaran dari kejadian sekeliling. Belajar bagaimana alam yang terbentang luas dalam menjalani peraturan yang ditetapkan oleh Allah atas mereka tanpa berlaku kerosakan.
Sedangkan manusia pula hidup dalam keadaan kerosakan dan kemusnahan adalah kerana manusia itu meninggalkan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Bukanlah Allah menjelaskan bahawa kerosakan itu sendiri berpunca dari tangan-tangan jahat dan kotor manusia kerana pengabaian terhadap perintah dan larangan Allah atas kehidupan manusia.
Firman Allah SWT :
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِی ٱلنَّاسِ لِیُذِیقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِی عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمۡ یَرۡجِعُونَ
Maksudnya :
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). – [Surah Ar-Rum 41]
▪️Kembali Kepada Fitrah Dan Peraturan Allah Untuk Berjaya
Sebagai seorang yang beriman, maka wajib kepada kita untuk kembali semula kepada fitrah yang telah diciptakan oleh Allah ke atas kita dan juga peraturan-Nya. Inilah pengabdian diri apabila manusia menghubungkan segala kejadian yang berlaku dengan ketetapan dari Allah agar manusia redha akan ketentuan-Nya.
Perbezaan ahli saintis Islam dan Barat pada membincangkan proses dan kejadian alam ialah pada “WHY” bukan pada “HOW”. Kedua-dua aliran akan membentangkan proses yang sama kerana lumrah alam demikian namun jawapan kepada “WHY” adalah beza pada dasar. Saintis Barat akan menjawab “ia kejadian semula jadi alam” manakala Saintis Islam akan memberi jawapan “ia kembali kepada ketentuan dan kekuasaan Allah”.
Inilah perbezaan dasar yang menjadi pasak dalam aqidah kehidupan kita. Manusia yang mengabdikan diri kepada Allah meletakkan sesuatu hasil itu diberikan oleh Allah, dan kita hanya berusaha mengikut ketentuannya pada perkara sebab dan musabbab. Manakala mereka yang “ghairah” akan kekuatan tersendiri akan meletakkan dirinyalah penentu segala-gala tanpa memikirkan soal ketentuan dari Allah.
Sehubungan itu, pengajaran penting dalam fenomena ini ialah pensyariatan solat sunat gerhana berjemaah. Memimpin manusia kembali ke akidah yang sahih dan kesatuan ummah menerusi pengabdian diri kepada Allah.
Abdullah bin ‘Amru radiyallahu ‘anhuma berkata :
لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Maksudnya: Ketika berlakunya gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW pengumuman telah dibuat untuk menunaikan solat jama’ah. – al-Bukhari
▪️Penutup
Di akhir kesempatan ini, beberapa pesanan sempena fenomena Gerhana Matahari Anulus yang bakal terjadi pada 26 Disember ini, maka hasil perbincangan di atas, marilah sama-sama kita hayati :
1. Kejadian dan fenomena alam merupakan tanda kekuasaan Allah, tiada kaitan perkara yang khurafat.
2. Manusia semestinya mengambil pengajaran dari ayat-ayat Allah yang bersifat “kejadian alam” agar melihat betapa hebatnya kekuasaan pentadbiran-Nya.
3. Manusia wajib kembali kepada peraturan Allah bagi menyelesaikan sebarang permasalahan. Kerosakan mula berlaku apabila manusia meninggalkan peraturan-Nya.
4. Hidup berakidah meletakkan kekuasaan Allah penentu segala sesuatu. Kita diwajibkan berusaha dan menyerahkan hasil keputusannya atas ketentuan Allah SWT.
Sekian.
*YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH*
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)