Oleh : Dr. Azman bin Yusof
Tutur kata kasar dan tidak berhemah oleh seorang YB merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka sebagaimana yang dilaporkan dalam mStar dan media cetak yang lain pada tahun lepas telah mengundang kemarahan netizen di seluruh negara sehingga dilabel “YB samseng”.
Perlakuan beliau bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat malah menjejaskan imej kerajaan negeri yang terpaksa memohon maaf di atas kebiadaban exconya itu.
Bagi masyarakat Timur, bercakap kasar seperti mencarut, meninggikan suara dan sumpah-seranah dianggap suatu budaya yang jelek dan manifestasi kepada sikap ‘kurang ajar’ atau biadap. Hal ini adalah kerana tutur kata adalah cerminan kepada nilai yang dianutinya, dan nilai yang dianutinya merupakan sebahagian ciri jati dirinya.
Jati diri ialah keyakinan terhadap sistem nilai dalam sesebuah masyarakat kerana apabila masyarakat berpegang teguh kepada nilai tersebut maka mereka tidak akan melakukan perkara yang berlawanan dengannya. Nilai-nilai tersebut mungkin berpunca daripada agama, budaya, pengalaman dan sebagainya.
Justeru, jati diri adalah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu, masyarakat dan negara yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang boleh dipelihara kerana memiliki ciri-ciri yang tersendiri dan boleh dibanggakan.
Malangnya, mutakhir ini kesantunan berbahasa mulai ‘merudum’ terutamanya pasca pilihanraya ke-14.
Isu ini banyak dilaporkan dalam media massa dan dapat diperhatikan dalam media sosial seperti facebook, twitter, whatsapp dan lain-lain. Hal ini sangatlah membimbangkan kerana ia adalah indikator kepada kerendahan moral dan kebejatan sosial dalam sesebuah masyarakat.
Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada berbilang bangsa, agama, bahasa dan budaya. Justeru itu, terdapat sedikit keragaman dari segi amalan kesantunan berbahasa.
Namun, sebagai masyarakat Timur dan majoriti bangsanya Melayu, maka nilai teras masyarakat Malaysia ialah budaya Melayu. Dalam masyarakat Melayu pula, ciri-ciri Islam menjadi asas kelakuan dan tindakan; bentuk dan hubungan, intisari nilai, sikap, pandangan dan pertuturan.
Masyarakat Melayu amat memandang berat terhadap kesantunan berbahasa. Setiap patah perkataan ada nilainya. Nilai terhadap bahasa menentukan jenis jenis bahasa seperti bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, dan bahasa biadab. Sehubungan itu, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan keadaan, suasana serta golongan, dan peringkat yang berbeza.
Seseorang perlu memahami sebab ia berkata-kata, apa yang dikatakan, bagaimana mengatakannya, kepada siapa ia berkata dan semua ini bergantung kepada konteks pertuturan tersebut. Bagi menegakkan sistem nilai, orang Melayu menekankan beberapa konsep yang diutamakan dalam kehidupan seharian mereka, iaitu konsep malu, harga diri, maruah, dan air muka.
Hubungan bahasa dalam masyarakat Melayu begitu erat sehingga dikatakan “bahasa tidak dijual beli” dan “hilang bahasa hilang bangsa”. Orang Melayu juga ada mengatakan “bahasa menunjukkan bangsa” yang menjelaskan bahawa orang Melayu meletakkan bahasa sebagai suatu perkara utama bagi menggambarkan bangsanya.
Peribadi seseorang dapat dinilai menerusi bahasanya, kalau bahasanya santun dan halus, maka dia dikatakan berbudi bahasa, sebaliknya kalau bahasa yang digunakan itu kasar dan tidak menyenangkan pendengar, maka dia dikatakan kurang ajar. Hal ini tergambar dalam pantun yang berikut:
Yang kurik itu kundi;
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.
Apabila budi digabungkan dengan bahasa, maka lahirlah satu pengertian yang jelas, iaitu percakapan yang baik yang mengandungi tutur kata sempurna dan menyenangkan, penuh dengan sifat-sifat menghormati pihak lain, bersopan santun diiringi dengan akhlak yang mulia.
Bahasa juga memantulkan sikap, kepercayaan, pemikiran, dan secara langsung menggambarkan realiti budaya sesebuah masyarakat. Sewaktu berinteraksi, kita ditegah sama sekali menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang. Perkataan yang keluar dari bibirnya hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-unsur yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain.
Hal ini dinyatakan secara tersirat dalam peribahasa seperti “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Manakala, ketidaksantunan berbahasa pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak baik. Ia secara umumnya membawa pemahaman kepada satu fenomena komunikasi yang berkait rapat dengan konflik dan polemik; terjadi apabila seorang penutur menggunakan pelbagai bentuk ujaran yang boleh mengancam dan menyumbang kepada kesan negatif terhadap imej pendengar.
Bentuk-bentuk ujaran ketidaksantunan termasuklah makian, tidak menghargai, memberikan tekanan, membuat perbandingan yang keterlaluan, mempermainkan atau mempersendakan dan sebagainya yang boleh meninggalkan tanggapan negatif kepada khalayak.
Kesimpulannya perilaku berbahasa yang sopan dipandang sebagai perilaku yang baik kerana mencerminkan nilai-nilai kebaikan tertentu, sedangkan perilaku berbahasa yang tidak sopan dipandang sebagai perilaku yang buruk karena tidak mencerminkan nilai kebaikan tertentu. Perilaku berbahasa yang tidak sopan dapat membantutkan sahsiah dan menggugat jati diri masyarakat.
Rakyat Malaysia hendaklah sentiasa mengamalkan kesantunan berbahasa kerana ketidaksantunan berbahasa adalah cerminan kepada kelemahan jati diri. Bangsa yang tiada jati diri akan mudah dilanda krisis identiti diri.
Penulis ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan & AJK Dewan Ulama’ PAS Negeri Melaka
Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)