Oleh : Abu Maryam Safiyyah
22 Disember 2019
Apabila Rasulullah berjaya membina Daulah Islamiah di Madinah, selain melaksanakan beberapa intipati kekuatan Islam yang asas seperti penyatuan, pembinaan masjid dan perangkaan Sahifah Madinah sebagai perundangan tertinggi negara.
Rasulullah juga telah mewujudkan Sariyyah Dakwah (Duta Dakwah) tahun ke 9 hijrah bertujuan mengutuskan seruan Islam kepada kerajaan lain yang bergelar kuasa besar dunia ketika itu. Antara kerajaan tersebut Rome, Parsi, dan Mesir. Seramai 10 duta Islam dihantar Rasulullah untuk melunaskan tuntutan dakwah kenegaraan ini.
Dalam misi Islam menuju Parsi, Rasulullah mengutus sahabat Abdullah bin Huzaifah As-Sahmi ra. Rasulullah mengajak Raja Kisra, pemerintah agong untuk memeluk Islam. Namun selesai saja surat itu dibaca Raja Kisra berang naik darah dan terus mengoyak surat Nabi dengan gelojoh lantas memerintahkan Gabenor Yaman bernama Badzan untuk melaksanakan tugas menangkap Rasulullah dan mengancam untuk membunuh Rasulullah. Dengan pemeliharaan Allah, Kisra dibunuh oleh anaknya sendiri melalui konspirasi. Rasulullah selamat dan terus memimpin dunia Islam.
Parsi adalah sebuah kerajaaan besar zaman sebelum Islam gemilang selain Rome. Kekuasaan dan penjajahan yang mereka nikmati menyebabkan kerajaan ini menjadi bongkak, sombong dan zalim terutama terhadap Islam.
China yang juga bergelar kuasa besar dunia kini saling tidak tumpah perangai jahanam kerajaan Parsi. Penguasaan mereka terhadap ekonomi yang semakin membesar merangsang mereka terus rakus melaksanakan seranah kolonialisme dan akhirnya menjajah bumi Xinjiang yang asalnya negara autonomi Turkistan Timur.
Itu tidak termasuk lagi tuntutan Kerajaan Komunis ini terhadap kekayaan Laut China Selatan dan kerakuskan untuk terus menguasi negara pulau terpesat di dunia Hong Kong walaupun terus mendapat bantahan ganas penduduk negara pulau ini.
Begitulah nilai persamaan dua kerajaan Timur ini, seolah-olahnya China hanya menyambung baton kerjaaan Parsi untuk mencengkam umat Islam.
Apa yang Parsi telah gemuruh melakukan sebelum tumbang hina zaman Saidina Umar Al-Khattab, begitulah kerjaaan China buktikan hari ini, tangkap, seksa dan bunuh, memerangi umat Islam.
Kalau Amerika Syarikat telah lama mengambil gaya kerajaan Heraklius, Rome di Barat menindas Islam melebar ke Asia Barat, China pula membuas di benua Asia dibantu pula oleh satu lagi negara syirik, India dalam isu autonomi Kashmir. ‘Puzzle’ yang makin lengkap membentuk tembok barat dan timur berdepan dunia Islam walaupun dua kuasa besar dunia itu saling perang dingin dalam isu politik dan ekonomi dunia.
Perangai musuh Islam dulu dan kini tidak berubah. Hanya watak berbeza.