Home Berita PAS Melaka

Rencana : KEM SMART SOLAT PERDANA TERUS MENYEMAI KEIMANAN, MEMUPUK DISIPLIN

1075
SHARE
Peserta-peserta Kem ‘Smart Solat’ Khusyuk Mendengar Ceramah Yang Disampaikan Tenaga Pengajar

Oleh: SITI SALWANI BT MOHD KASSIM

Program tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Kem Smart Solat Perdana (KSSP) diteruskan lagi untuk tahun ke enam serentak di enam kawasan di seluruh negeri Melaka.

Program anjuran bersama Lajnah Pendidikan dan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan ini membawa visi melahirkan generasi yang bertanggungjawab, berdisiplin, berilmu, beramal dan bertaqwa.

Tirai KSSP 2019 dibuka dengan meriahnya oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka selama tiga hari bermula hari ini dan akan berakhir pada hari Rabu 27 November.

Bertempat di Sekolah Rendah Islamiah (SRI) Ahmadiah, Telok Mas, program anjuran bersama PAS Kawasan dan Dewan Pemuda PAS Kawasan ini membuka penyertaan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia di antara 7 hingga 12 tahun.

Sementara itu, pada esok hari, Selasa 26 November, laungan lagu tema KSSP Mari Mengerjakan Solat bakal bergema pula di Pasti At-Taqwa 1, Jelatang, Alor Gajah selama tiga hari. Pada kali ini giliran Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah pula melayani keletah peserta cilik yang dijangka berakhir pada hari Khamis, 28 November.

Kemeriahan dijangka tidak berakhir di dua kawasan tersebut kerana Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin pula membuka luas tangan menerima kehadiran kira-kira 120 peserta di tiga lokasi iaitu Sebatu, Serkam dan Di Kompleks PAS Kawasan Jasin bermula 27 November akan datang. Program tiga hari KSSP di setiap lokasi ini dijangka berakhir pada 7 Disember.

Turut menyahut cabaran Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, KSSP yang telah dirancang dengan teliti akan dijalankan juga oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu pada 3 hingga 5 Disember bertempat di SRI Annuriah Sungai Udang, di Maahad Ar-Rahmah oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya pada 6 hingga 7 Disember dan diakhiri oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah pada 3-4 Disember di Masjid Al-Jawahir dan 7-8 Disember di Darul Sakinah Taboh Naning.

Program KSSP ini yang telah dijalankan saban tahun mendapat sambutan yang baik dari ibubapa tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Pengisian yang baik dan penyampaian dengan cara yang menarik melalui kuiz, teka-teki, praktikal, permainan teka silangkata dan penceritaan sirah menarik minat peserta. Perjalanan program ini yang dibantu sekumpulan fasilitator terlatih adalah antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan KSSP. Di akhir program peserta disasarkan mampu meningkatkan disiplin diri dalam urusan solat dan ibadah lain.

KSSP bakal disempurnakan perasmian pembukaannya oleh Yang Dipertua PAS Kawasan masing-masing mengikut jadual tarikh program yang telah disusun. Turut bertugas membantu perjalanan program ini adalah Jabatan Amal dan Ameerah Kawasan masing-masing.

Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan Dan Media Baru PAS Melaka.