Oleh : IBNATDEEN
TANGGA BATU – Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan tauladan sepanjang zaman dalam setiap aspek kehidupan. Dalam aspek kepimpinan, keunggulan jati diri baginda Rasulullah SAW diakui, dihormati dan disegani bukan hanya dari kalangan teman bahkan dari kalangan musuh dan lawan. Dan politik Islam adalah model keunggulan kepimpinan Rasulullah SAW.
Ini dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail di dalam program forum Maulidur Rasul anjuran PAS dan UMNO Sungai Udang pada Jumaat 22 November lepas.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka menghuraikan tentang dua teras utama keunikan politik Islam melalui hadis sabdaan Nabi SAW yang berbunyi ‘Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya’.
Mengulas tentang hadis di atas, beliau berkata seseorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya.
“Politik Islam berdiri di atas pengiktiran atas kewujudan Allah SWT. Implikasinya, apabila seseorang pemimpin memperakui kewujudan Allah SWT, akan memperakui tujuan pengutusan Rasul sekaligus memahami tanggungjawab utamanya adalah untuk tunduk kepada syariat yang diperturunkan kepada Rasul seterusnya disampaikan kepada manusia.” ujar beliau.
Menurut Ustaz Zulkifli lagi, politik Islam itu dibangunkan atas dasar keimanan terhadap kewujudan hari akhirat bukan semata-mata dunia.
Beliau memetik kata ulama ternama As-Sheikh Al’Allamah Abdul Latif Fudah di Jordan ‘sungguhnya kehidupan di dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan. Kehidupan dunia mesti berjalan atas landasan akhirat’.
Ustaz Zulkifli menjelaskan bahawa politik sekular pula hanya memandang kepentingan dunia semata-mata , tanpa menghiraukan maslahah dan hakikat tujuan penciptaan kehidupan manusia .Akibatnya manusia boleh berbuat sewenang-wenangnya di atas dunia tanpa menghiraukan nasib diri yang bakal ditimpadi akhirat.
Tegas beliau, politik Islam adalah budaya politik yang paling selamat dan sejahtera perlu diaplikasikan oleh seluruh kepimpinan kerana itulah satu-satunya model yang terbukti keberjayaannya melalui kedaulatan Islam di dunia pada satu ketika dahulu.