*
Oleh : ANNA TAN
29 Oktober 2019
TAWAU ~ Program Menggilap OKU Muqarrabun dan Ramah Mesra bersama OKU telah diadakan pada 28 Oktober bertempat di Masjid Al Kauthar di sini, semalam.
Program tersebut merupakan anjuran Unit Pengupayaan OKU (UPAYA) Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Tawau dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia(PPOM) dan Persatuan Orang-Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS).
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKP), Mohamad Bin Husain, merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau.
Mohamad Husain dalam ucapannya menyatakan agar golongan OKU tidak merasa rendah diri atas kekurangan yang ada pada mereka .
Ini kerana kekurangan tersebut merupakan satu bentuk kelainan dalam melakukan sesuatu perkara dan mempunyai kelebihan tersendiri.
Majlis kemudian diteruskan dengan Ceramah Menggilap OKU Muqarrabun yang disampaikan oleh Naib Yang DiPertua PERTIS, Cikgu Jasmadin Budin.
Cikgu Jasmadin Budin menerangkan tujuan program Menggilap OKU Muqarrabun adalah untuk memberi penerangan kepada OKU, ibubapa,masyarakat dan pihak berkuasa untuk memahami peranan masing-masing.
Ia juga bertujuan untuk memperkuatkan jati diri OKU berasaskan iman dan taqwa.
Disamping memberi kefahaman kepada ahli keluarga OKU khususnya ibubapa dan penjaga agar elemen sabar dan reda menjadi asas dalam membesarkan anak OKU .
DIsamping itu, ibubapa dinasihatkan agar tidak merasa malu jika mempunyai anak OKU dan tidak menyembunyikan mereka dari bergaul dan mendapat hak pendidikan.
” Program ini juga adalah bertujuan untuk membentuk masyarakat dan pihak berkuasa prihatin kepada golongan OKU .
” Pihak berkuasa perlu menyediakan fasiliti-fasiliti yang sesuai untuk memudahkan golongan OKU bergerak khususnya di tempat-tempat awam,”katanya ketika ditemui.
Program tersebut dihadiri kira-kira 60 tetamu terdiri daripada OKU dari pelbagai kategori, ahli keluarga dan AJK PAS Kawasan Tawau.
Pihak penganjur turut menyediakan jurubahasa isyarat kepada OKU pekak agar dapat memahami dan berinteraksi bersama penceramah.
Majlis diakhiri dengan acara makan petang dan ramah mesra bersama yang hadir.