Home Artikel PAS Wilayah

Gesa Kerajaan Serius Tangani Ketidakmampuan Beli Rumah

23 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

GESA KERAJAAN SERIUS TANGANI KETIDAKMAMPUAN BELI RUMAH

PAS Wilayah Persekutuan mengulangi gesaan supaya Kerajaan lebih serius menangani isu ketidakmampuan membeli rumah khususnya dalam kalangan penghuni bandar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kerajaan disarankan supaya meneliti beberapa syor yang pernah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antaranya menyatukan semua agensi perumahan di bawah satu bumbung selain menyelaras aspek perundangan dan sebagainya sebagai salah satu daripada langkah proaktif bagi menangani isu perumahan.

Ini termasuklah mengambil contoh pendekatan yang diambil Housing Develeopment Board (HDB) di Singapura yang berjaya mencapai 80 peratus rakyat di sana memiliki rumah.

Perkara ini amat mustahak memandangkan pengukuran kemampuan membeli rumah di Kuala Lumpur jauh lebih parah berbanding tempat lain.

Berdasarkan kajian Khazanah Research Institute pada 2014 menunjukkan Multiple Median di Kuala Lumpur berada pada paras 5.4 iaitu “severely unaffordable” berbanding paras norma global mampu milik iaitu 3.0. Ini turut melebihi paras Multiple Median nasional yang mencecah 4.8 ketika ini.

Begitu juga bilangan pembinaan rumah mampu milik (di bawah paras pendapatan penengah isi rumah) oleh pemaju swasta selain daripada rumah yang disubsidi oleh Kerajaan di Kuala Lumpur berdasarkan kaedah “down-market penetration” berada paras yang rendah. Perkara ini menggambarkan pemaju swasta lebih cenderung memfokuskan pembinaan rumah mewah berbanding rumah mampu milik.

Justeru, Kerajaan sewajarnya meneliti kesemua faktor ini secara serius selain memikirkan penyelarasan di antara semua agensi awam dan swasta dalam menangani permasalahan dalam sektor perumahan negara.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
Jumaat, 4 Rabi’ul Awwal 1441H | 1 November 2019