Kenyataan Media Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan.
TANGANI ISU PERPARITAN DI SUNGAI GADUT SEBELUM BERTAMBAH KRITIKAL
1. Hujan yang terus berlarutan semenjak petang hinggalah ke waktu ini (waktu Maghrib) mengakibatkan jalan laluan dari kawasan sekitar Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut menuju ke arah bandar Seremban terkandas. Laluan jalan sekitar Stesen KTM Sungai Gadut menghala ke Bandar Seremban Selatan dan Rantau juga telah ditenggelami air hingga ke paras pinggang. Tapak parkir Stesen KTM juga antara kawasan yang terjejas teruk sehingga menenggelamkan kereta-kereta.
2. Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa banjir kilat yang berlaku di Stesen KTM Sungai Gadut lewat petang tadi.
3. Kami juga berharap agar pihak kerajaan negeri memandang serius atas bencana yang berlaku ini, serta mengambil langkah bijak menangani masalah sebelum lebih teruk berlarutan. Kekerapan banjir yang melimpahi jalan raya perlulah ditangani segera bagi maslahah rakyat. Tragedi ini bukanlah kes pertama yang pernah berlaku, maka tindakan segera dalam membaik pulih sistem saliran dan perparitan perlu diambil.
4. Seorang kenalan saya yang juga merupakan salah seorang warga pendidik di sebuah sekolah di Ampangan hampir dihanyutkan air bersama-sama anaknya. Alhamdulillah, mangsa sempat diselamatkan warga setempat. Dengan tiada sistem amaran atau langkah persediaan awal, ia mungkin boleh mengakibatkan sesuatu yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang.
5. Turut perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan adalah sistem saliran loji kumbahan di Taman Tuanku Jaafar. Sisa kumbahan seringkali melimpah dan dihanyutkan air banjir membawa ke jalan raya apabila hujan lebat. Hal ini akan menjejaskan kawasan TTJ fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 malah membawa ke kawasan-kawasan lain di Sungai Gadut.
6. Justeru kami sekali lagi menyeru agar pihak kerajaan mengambil langkah serius dalam menangani isu ini. Sekiranya hal-hal berkaitan sistem aliran air dan perparitan ini tidak ditangani dengan segera, dibimbangi bencana lebih buruk serta kejadian yang tidak diingini lebih teruk bakal berlaku.
7. Kami juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga setempat dan pihak bomba serta polis, yang bergerak pantas menangani kesulitan warga yang terlibat khususnya di kawasan Sungai Gadut saat ini.
8. Semoga kesulitan warga setempat dan suara rakyat setempat ini didengari, dan penambahbaikan berkaitan perparitan khususnya di kawasan Sungai Gadut, Taman Tuanku Jaafar dan kawasan sekitarnya dapat diselesaikan.
Mumtaz Basha Harun,
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan.
8:00 malam – 17 Oktober 2019
Gambar-Gambar Berkaitan: