Home Artikel PAS Wilayah

Sekat Dan Cantas Pengaruh Ltte Dalam Dap

897
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMA’ PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

SEKAT DAN CANTAS PENGARUH LTTE DALAM DAP
(17 Oktober 2019)

1. Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) merasa bimbang dengan dakwaan ada rakyat Malaysia termasuk pemimpin DAP yang ditahan kerana terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Keterlibatan mereka secara langsung atau tidak dengan LTTE membuka ruang negara ini kepada keganasan global, kempen perkauman, serta jenayah yang berleluasa.

2. Dalam pada itu, DUPWP mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana bertindak pantas melalui risikan dan pemerhatian dengan menangkap individu suspek seramai tujuh orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan. Jika terbukti benar mereka bersalah, maka tindakan menahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah perlu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekalipun mereka adalah pemimpin.

3. Sepatutnya mereka mengetahui bahawa kumpulan LTTE telah diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014. Menyokong etnik Tamil di Sri Lanka dan sokongan buat kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah dua perkara berbeza. Kami merasa hairan bagaimana para pemimpin DAP ini boleh bersimpati dengan sebuah pertubuhan yang diisytiharkan sebagai pengganas. Apakah mereka mahu menegakkan perjuangan LTTE di negara ini atau mengheret dan menghasut rakyat agar turut sama menyertai perjuangan LTTE.

4. Negara ini pernah digemparkan dengan penangkapan beberapa individu yang dikatikan dengan kumpulan pengganas seperti Daesh. Selain Daesh, LTTE juga adalah kumpulan pengganas yang ditolak oleh rakyat dan negara ini. Justeru, tidak wajar ada golongan yang membela dan bersimpati dengan LTTE dan Daesh kerana mereka menyokong keganasan dan pemberontakan.

5. Dakwaan pihak tertentu menyamakan LTTE dengan HAMAS adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana HAMAS bukan kumpulan pengganas. Berdasarkan sejarah, perjuangan Hamas adalah untuk rakyat Palestin yang mana tanah airnya telah dirampas. Sebaliknya, LTTE pula menuntut kemerdekaan daripada sebuah negara yang telahpun merdeka. Jadi tidak wujud persamaan di antara Hamas dan LTTE.

6. Oleh itu, DUPWP juga menyokong agar pihak PDRM menyiasat keterlibatan DAP dengan kumpulan pengganas LTTE. Kesemua mereka yang terlibat menyokong atau bersimpati dengan LTTE mesti dibanteras sebelum pengaruh mereka menular dalam masyarakat. Jika terbukti DAP ada kaitan dengan LTTE, kerajaan perlu bertindak tegas termasuk mengharamkan parti tersebut.

HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan