Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Muhammad Hasif Hasanudin @ Abdullah, menjadi peserta tunggal dari negeri ini yang naik ke pentas menerima hadiah dalam Alam Ria PASTI Malaysia 2019 yang telah berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 28 September lalu.
Pelajar dari PASTI Darul Hikmah, Arau itu telah memenangi tempat ketiga dalam acara Sajak Lelaki.
Ketua Kontinjen PASTI Negeri Perlis, Nurdin Isa ketika dihubungi berkata, meskipun sekadar tempat ketiga, pihaknya amat gembira dengan kejayaan yang dicapai Muhammad Hasif yang telah mempamerkan persembahan terbaik pada hari pertandingan.
“Meskipun hanya seorang sahaja peserta yang mencatatkan kemenangan, PASTI Negeri Perlis amat berbangga dengan kualiti persembahan yang ditunjukkan oleh semua peserta yang mewakili PASTI Negeri Perlis dalam temasya tersebut.
“Apa yang penting bukanlah kemenangan semata-mata, tetapi keberanian serta kesungguhan untuk tampil bersaing membawa nama PASTI Perlis di pentas kebangsaan,” jelasnya.