HWPU913 : Penyatuan Ummah Goyahkan Kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan
Oleh : Danisya Ismail
KUALA LUMPUR 13 SEPTEMBER – Hikmah di sebalik kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke -14 mengubah landskap politik negara dan mencetuskan Penyatuan Ummah yang sedang berlaku kini.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Dr. Noraini binti Mohamad berkata, kekalahan tersebut membuka ruang yang luas kepada PAS dan UMNO bersatu dan menyambung tali persaudaraan yang sudah sekian lama berseteru dalam medan politik.
Beliau mengulas masyarakat pada hari ini telah lama mendambakan penyatuan dari kedua-dua parti gergasi negara ini iaitu PAS dan UMNO.
“Penyatuan Ummah ini menjadi cabaran besar dan tampak menggoyahkan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan selaku pihak kerajaan”.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pastinya akan menjadi kerajaan sepenggal. Mereka kini di kedudukan kerajaan, namun berperwatakan pembangkang. Ini membuktikan mereka amat tergugat dengan penyatuan dua buah parti besar ini. “
Tambahnya, pada Pilihanraya Umum ke-15 akan datang, PAS dan UMNO bakal menerajui kerajaan pusat dan mengembalikan keharmonian rakyat Malaysia dan memastikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu terpelihara sebaiknya.