RANAU: Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan lawatan ke Madrasah Rumah Transit Muallaf yang menempatkan 50 pelajar dalam kalangan asnaf dari beberapa daerah negeri Sabah di Kampung Lohan, di sini kelmarin.
Ziarah Muslimat PAS Malaysia itu diwakili Ketua Pengarah Akademi Pengajian Saidatina Aisyah, Dr Uswah Tahir dan Ketua Kelab As-Sabiqat, Khadijah Mahmud dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah, Ustazah Raba’ah Adawiyah Ahmad.
Program dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Sabah itu menurut bertujuan mengerat silaturahim dan mengetahui lebih dekat perjalanan pusat pendidikan di pedalaman Negeri Di Bawah Bayu kelolaan Persatuan Pendakwah Sabah itu.
Pada kesempatan kunjungan itu, pimpinan Muslimat PAS turut berkesempatan menyampaikan motivasi kepada para pelajar agar mempersiapkan diri menjadi Muslim terbaik dan pendakwah kepada ummah di masa depan.
Menurut Pengasas Madrasah Rumah Transit Muallaf, Ustaz Nazri Abdullah, pelbagai rintangan dihadapi pihak pengurusan sejak 2013 terutama dari sudut kewangan di mana mereka bermula dengan pondok yang hampir roboh.
Katanya, dari hanya 10 pelajar, sehingga kini madrasah ini membangun dengan beberapa blok surat, kelas, asrama lelaki dan perempuan serta rumah guru dengan di kelilingi persekitaran taman bunga, buah-buahan dan kolam ikan.
Sempena lawatan tersebut, delegasi Muslimat PAS turut menyampaikan sumbangan khas sebagai sokongan kepada aktiviti dakwah yang giat dijalankan oleh pihak madrasah dan seluruh warganya.