Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pemimpin yang Baik Membawa Kesejahteraan

1697
SHARE

Pemimpin Yang Baik Membawa Kesejahteraan

Dimulakan tulisan kali ini dengan peringatan daripada Firman Allah SWT dalam surah as-Syu’araa’ ayat 150-152 yang bermaksud:

“Maka bertaqwalah kepada Allah dan taatilah Aku. Dan janganlah taat perintah orang yang melampaui batas; iaitu mereka yang melakukan kerosakan di muka bumi dan tidak mahu melakukan kebaikan (Islam)”.

Pemimpin yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya adalah pemimpin yang boleh memandu rakyatnya menurut jalan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Jalan menuju kebaikan itu jelas dan jalan kebatilan juga jelas. Tiada masalah untuk membezakannya kerana Allah SWT telah memberikan panduan kepada manusia melalui Rasul-Nya yang telah melaksanakan tugasnya.

Pemimpin yang memerintah negara ini ditentukan oleh pilihan raya yang berlaku secara berkala 4 atau 5 tahun sekali mengikut perlembagaan Malaysia. Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperolehi suara majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh membentuk kerajaan persekutuan atau pun kerajaan negeri. Calon-calon pilihan raya yang mendapat undi terbanyak akan menjadi wakil rakyat di parlimen atau di DUN yang ia bertanding.

Selepas PRU 14, kita menyaksikan parti-parti yang bergabung di bawah satu gabungan yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) telah mendapat kemenangan untuk memerintah kerajaan persekutuan dan lebih 70% negeri-negeri di Malaysia.

Rakyat yang telah memilih mereka, menunggu-nunggu segala janji yang telah ditaburkan semasa kempen pilihan raya. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasanya sesuai dengan semangat prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan masih lagi bersabar dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang terpilih untuk mentadbir negara ini.

Apa yang menyedihkan akhir-akhir ini, pentadbiran PH mula digugat dengan sikap pemimpin-pemimpin mereka sendiri. Ada yang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri, ada yang difitnah terbabit dengan perilaku seks diluar batas agama, ada yang menggunakan ijazah yang diragui status universitinya, ada yang membuat kenyataan-kenyataan yang membingungkan rakyat dan terbaru seorang lagi pemimpin dituduh melakukan jenayah seks terhadap pembantu rumahnya.

Ketika ini, rakyat Malaysia sudah membuka mata dan tidak sabar lagi untuk menunggu Pilihan Raya Umum yang ke 15. Apa yang boleh kita insafi, memilih pemimpin adalah satu tugas dan tanggungjawab yang berat. Umat Islam khasnya perlu sedar bahawa kesilapan memilih pemimpin akan menyebabkannya menderita bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat. Memilih pemimpin yang tidak layak adalah satu pengkhianatan kepada Allah SWT dan RasulNya.

Pemimpin yang tidak boleh memandu dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat wajib digantikan. Pemimpin yang mahu kepada Islam atau yang mahu bersama Islam akan menjadikan negara atau negeri yang diperintah aman dan makmur serta mendapat keberkatan Ilahi. Kehidupan rakyat akan terbela dan lebih terjamin. Kebahagian sesebuah keluarga sudah pasti menjadi aset yang penting untuk membangunkan sebuah negara.

Hari ini, kita mestilah memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk berani membuat perubahan dan tampil ke pusat pengundian apabila tiba masanya nanti.

Dr. Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Penerangan

Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Zulkaedah 1440 bersamaan 10 Julai 2019