Home Berita PAS Selangor

Pilih Kepimpinan Yang Bertanggungjawab & Takut Kepada Dosa

2347
SHARE


Selamat Bermuktamar : Pilih Kepimpinan Yang Bertanggungjawab & Takut Kepada Dosa

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ (Surah Al-Imran : 159)

Maksudnya : “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. “

Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK) mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh pimpinan dan perwakilan pemuda seluruh negari yang akan bermuktamar pada 19-20/6/2019 dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Bukit Gambang Resort City, Pahang.

Mesyuarat adalah arahan Allah SWT dalam Al-Quran dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan serta perjuangan baginda. Daripada mesyuarat ini Rasulullah SAW lazimi berbincangan yang kritis dan mapan dalam masa yang sama terus meninggikan syariat Islam walau apa jua rintangan yang bakal dihadapi oleh umat Islam. Sehinggalah ke hari ini tercatat sejarah agung dalam peradaban Islam, Kota Madinah yang diuruskan oleh Rasulullah SAW sebagai permulaan tapak umat Islam melebarkan sayap Islam diseluruh dunia.

Mesyuarat juga adalah medan muhasabah dan islah yang diadakan sepanjang tahun yang sepatutnya menyemarakkan Amar Makruf dan Nahi Mungkar yang merupakan asas tugas gerakan Islam. Konsep ini perlu diterapkan sebaiknya dalam gerakan Islam yang kita sayangi bersama ini agar dipandu dengan neraca pahala dan dosa mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Muktamar tahun ini juga adalah muktamar pemilihan oleh itu sabda Nabi Muhammad SAW wajib ditekuni:

من استعمل رجلا من عصابة وفي تلك العصابة من هو أرضى لله منه فقد خان الله وخان رسوله وخان المؤمنين
(Riwayat al-Hakim, no: 7070)

Maksudnya :“ Barang siapa yang melantik seorang lelaki dari suatu kumpulan, sedangkan dalam kumpulan itu ada seseorang yang lebih diredhai di sisi Allah darinya, maka dia telah khianat terhadap Allah, Rasul-Nya dan sekalian orang beriman.”

Melantik pemimpin yang berkeupayaan dan berintegriti adalah kewajiban seluruh perwakilan. Pemimpin gerakan Islam mestilah thabat berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta melengkapi sifat-sifat pimpinan yang diletakkan oleh Allah SWT.

Hakikatnya ramai dikalangan kepimpinan terdahulu telah pergi meninggalkan kita, dalam masa yang sama pengakhiran kehidupan mereka yang benar-benar istiqamah dengan Islam, semuanya dikembalikan dengan syahid dan sebaik-baik pengakhiran. Sama-sama kita letakkan tanggungjawab agar terus memberikan kerjasama dan bakti untuk menggerakan wadah berteraskan Islam.

Firman Allah SWT :

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ (Surah Al-Qosas : 26)

Maksudnya: sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bertugas ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

Akhir sekali DPPK Klang mendoakan keselamatan perjalanan pergi dan pulang kepada seluruh pimpinan dan perwakilan muktamar kali ini. Semoga kita terus menggerakkan legasi kepimpinan yang takut kepada dosa dan azab Allah SWT serta mengejar pahala Allah SWT dengan teguh bersama prinsip dan syarak Islam.

سيروا على بركة الله

“ISLAM MEMIMPIN”

Solihuddin Bin Mohamad Jahar
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK)
18 Jun 2019 bersamaan 15 Syawal 1440H