Muslimat PAS Raikan Syawal Bersama Petugas HCTM
Kuala Lumpur : Menghayati bulan yang mulia Ramadhan al-Mubarak, umat Islam dianjurkan dengan memperbanyakkan ibadah sedekah. Anjuran memperbanyak sedekah di bulan Ramadhan ini diriwayatkan dalam banyak hadis dari Rasulullah SAW, baik hadis qawli maupun fi’li. Antaranya dalam hadis riwayat Anas disebutkan:
عَنْ اَنَسٍ قِيْلَ يَارَسُولَ اللهِ اَيُّ الصَّدَقَةِ اَفْضَلُ؟ قَالَ: صَدَقَةٌ فِى رَمَضَانَ
Bermaksud, “Dari Anas dikatakan, ‘Wahai Rasulullah, sedekah apa yang nilainya paling utama?’ Rasul menjawab, ‘Sedekah di bulan Ramadhan,’ (HR At-Tirmidzi).
Selain dari hadis tersebut, disebut juga dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim dijelaskan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ (أَجْوَدَ) مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ
Bermaksud, “Rasulullah SAW adalah orang paling dermawan di antara manusia lainnya, dan ia semakin dermawan saat berada di bulan Ramadhan,” (HR Bukhari dan Muslim).
Justeru itu, salah satu inisiatif yang telah dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) semenjak dari sebelum masuknya bulan Ramadhan saban tahun ialah mengalu-alukan sumbangan dari para dermawan bagi menjayakan program “Seindah Syawal”. Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk meraikan mereka yang kurang berkemampuan atau mereka yang tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama keluarga seperti insan lain.
Pada 31 Mei yang lalu, LKK DMPM dengan kerjasama LKK Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) dan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Bandar Tun Razak (BTR) telah meraikan Seindah Syawal bersama pesakit kanak-kanak dan juga petugas-petugas di Wad Pediatrik Hospital Canselor Tengku Mukriz (HCTM) yang dahulunya di kenali sebagai Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
Program berjalan dengan lancar dan meriah sekali dan mendapat sambutan yang sangat baik dari petugas-petugas wad dan pesakit yang diziarahi. Turut hadir dalam program ini ialah YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr. Rosni Adam selaku Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Puan Zurina Din selaku Timbalan Pengerusi LKK DMPM serta muslimat dan ahli-ahli jawatankuasa LKK DMPM, LKK DMPWP dan LKK DMPK BTR.
Dalam program Seindah Syawal tersebut, hasil dari sumbangan para dermawan, pesakit-pesakit dan petugas wad di wad Pediatrik 4A, 4B, 4C dan 4K telah menerima hadiah berupa hamper dan sijil penghargaan untuk petugas serta kuih bahulu dan duit raya untuk pesakit kanak-kanak.