?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 13
Ayat: 41-44 : Siapakah Ashab Al-Syimal dan Bentuk Azab
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَأَصْحَابُ الشِّمَالِ مَا أَصْحَابُ الشِّمَالِ – ٤١
Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu.
فِي سَمُومٍ وَحَمِيمٍ – ٤٢
Dalam (siksaan) angin yang amat panas dan air yang mendidih,
وَظِلٍّ مِنْ يَحْمُومٍ -٤٣
dan dalam naungan asap yang hitam.
لَا بَارِدٍ وَلا كَرِيمٍ – ٤٤
Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.
? Tafsir ringkas:
1. Setelah diceritakan tentang dua golongan yang beruntung, maka pada ayat- ayat ini, Allah bercerita pula tentang golongan yang ketiga iaitu golongan rugi atau celaka
2. Allah SWT mengunakan gaya bahasa pertanyaan iaitu siapakah golongan kiri itu? Ia bertujuan untuk membangkitkan keinginan kita untuk tahu siapakah golongan itu. Tujuan kita mengenali mereka adalah supaya kita tidak menjadi seperti mereka. Alangkah celakanya mereka!
3. Mereka adalah golongan yang masuk neraka. Mereka dimasukkan ke dalam neraka bukan hanya kerana kesyirikan sahaja bahkan juga yang banyak berbuat dosa dan derhaka. Lalu Allah SWT menggambarkan azab seksa yang dikenakan kepada mereka di dalam neraka, antaranya;
i. Mereka diseksa dalam bahang angin yang membakar.
ii. Mereka dicelur dalam air yang panas mendidih dan mengelegak. Kepanasannya bukan panas biasa. Ia tidak boleh langsung dibandingkan dengan didihan di dunia.
iii. Mereka duduk di bawah naungan asap hitam. Teduhan pun panas lagi hitam. Ibnu Abbas mengatakan bahawa yang dimaksud dalam ayat tersebut ialah mereka ditimpa naungan asap yang hitam pekat lagi sangat panas. Ayat ini sama maksud dengan ayat 29-34 surah Al-Mursalat.
iv. Mereka duduk di jurang neraka yang tiada sedikit pun kesejukan apatah lagi untuk merasa nyaman, selesa dan menyenangkan. Yang dirasakan hanya azab yang teramat pedih. Bukan sahaja keadaannya tidak selesa bahkan pemandangan di dalamnya itu teramat buruk dan sangat mengerikan.
4. Itulah destinasi terakhir golongan kiri yang menerima buku-buku catatan mereka dengan tangan kiri. Mereka berada di dalam tempat-tempat yang rendah lagi hina.
? Pengajaran
1. Setiap kali menemui ayat-ayat berkenaan neraka dan azabnya, berdoalah agar Allah melindungi kita darinya. Pada setiap pagi dan petang hari, Rasulullah SAW tidak pernah berhenti berlindung kepada Allah SWT daripada neraka.
رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ
Ya Rabbi, aku berlindung kepada-Mu daripada azab di neraka dan azab di kubur.” (Riwayat Muslim)
Ataupun doa ini :
اللَّهُمَّ أجِرْنَا مِنَ النَّارِ
Ya Allah, lindungi aku daripada api neraka.
2. Ketahuilah bahawa mengingati neraka merupakan perkara yang besar dalam kehidupan Nabi SAW, baik dalam fikiran ataupun hati baginda. Baginda tidak pernah terputus daripada mengingati neraka. Maka sepatutnyalah sebagai seorang Muslim, kita sentiasa mengingati neraka dengan rasa kengerian dan kedahsyatan siksanya supaya kita bertambah takut kepada Allah SWT agar dalam kehidupan ini kita tidak tenggelam dalam kenikmatan dunia, syahwat dan kemaksiatan sampai lupa akan akhirat.
3. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa bertaubat dan perbanyakkan menangis di dunia lantaran menyesal atas keterlanjuran dosa. Sesungguhnya para penghuni neraka akan menangis sampai air mata mereka habis. Sehingga yang keluar daripada mata mereka berupa darah, bukan lagi air mata. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia sekalian, menangislah! Jika tidak dapat menangis, maka paksakan dirimu untuk menangis, kerana sesungguhnya ahli neraka itu akan terus menangis hingga air matanya mengalir di pipi masing-masing, seperti air yang mengalir di sungai. Sampai air mata itu habis dan matanya pun pecah-pecah. Seandainya ada perahu yang diletakkan di situ, nescaya berlayarlah ia.” (HR Ibnu Majah)
? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
18 Mei 2019 / 13 Ramadhan 1440