Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Hari Belia: Bangkit Anak Muda! Hamasah as Syabab!

1425
SHARE

Selamat Hari Belia: Bangkit Anak Muda! Hamasah as Syabab!

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A

     Kata-kata tersebut jelas memperlihatkan betapa pentingnya keberhasilan belia dalam pembangunan sesebuah negara. Sejak ribuan tahun dahulu sehinggalah kini pun, belia telah melakar pelbagai kisah kemenangan pada lembaran sejarah dunia. Sejarah membuktikan banyak gerakan kebangkitan yang berjaya bukan sahaja disertai, malah dimulakan oleh golongan belia.

       Jika kita hayati bait-bait dalam Risalah Dakwah karangan Hassan Al-Banna, ada dihuraikan sifat-sifat pemuda yang komited dengan dakwah iaitu:

1. Keimanan yang tinggi terhadap apa yang diajarkannya

2. Keikhlasan dalam menegakkan Islam

3. Bersedia berkorban dan berusaha

4. Hamasah (semangat) yang tinggi

Ciri-ciri tersebut sewajarnya ditelusuri dan diaplikasikan oleh para belia Muslim khususnya agar kalian dapat menjadi antara ‘batu-bata’ dalam pembangunan Islam.

    Para beliawanis pula tidak seharusnya merasa rendah diri dengan stereotaip keterbatasan wanita dalam berjasa kepada pembangunan negara. Kesantunan, batas pergaulan dan batas pemakaian tidak sekali-kali wajar dianggap sebagai sesuatu yang membataskan sumbangan mereka kepada kemenjadian anak bangsa sebagaimana yang dianggap oleh golongan liberal. Dunia moden ini menyaksikan semakin ramai beliawanis yang tampil ke hadapan dengan ilmu serta kemahiran yang dimiliki.

     Di Malaysia sendiri, ramai beliawanis yang telah berjaya mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing pada usia muda, sepertimana Dr Nur Adlyka Ainul Annuar yang terkenal dengan jolokan ‘ratu lohong hitam’ kerana beliau merupakan rakyat Malaysia pertama menemukan lohong hitam supermasif ketika menuntut di peringkat kedoktoran di Universiti Durham  pada tahun 2017. Di samping itu, semakin ramai beliawanis serata dunia terlibat dalam bidang kebajikan dan kemanusiaan. Pada 2 Jun 2018, dunia digemparkan dengan terkorbannya Razan Al-Najjar, 21 yang merupakan sukarelawan kementerian yang sedang berkhidmat sebagai paramedik ketika itu di Khan Yunis, Gaza. Hijab dan pakaian sopan yang melitupi tidak sekali-kali menghalang mereka berbuat jasa.

      Justeru, sempena Hari Belia ini, ayuhlah sama-sama kita menghayati kalimat ‘hamasatul syabab wa hikmatu syuyukh’ (semangat orang muda dan kebijaksanaan orang tua) yang menunjukkan bahawa betapa pentingnya integrasi antara golongan belia dan berusia ini demi menghasilkan negara yang lebih berjaya daripada sudut duniawi mahupun ukhrawi. Semoga lebih ramai ilmuwan, ahli sukan, ahli perniagaan, pejuang keamanan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang boleh dilahirkan dalam kalangan belia muslimat Malaysia.

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia

10 Ramadhan 1440H

15 Mei 2019

 

#selamatharibelianegara #youthday #bangkit