?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 9
Ayat: 22 – 26 : Bidadari dan Suasana Syurga untuk Para as-Sabiqun
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَحُورٌ عِینٌ – ٢٢
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya
كَأَمۡثَـٰلِ ٱللُّؤۡلُوِٕ ٱلۡمَكۡنُونِ – ٢٣
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
جَزَاۤءَۢ بِمَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ – ٢٤
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
لَا یَسۡمَعُونَ فِیهَا لَغۡوًا وَلَا تَأۡثِیمًا – ٢٥
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa;
إِلَّا قِیلًا سَلَـٰمًا سَلَـٰمًا – ٢٦
Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain).
? Tafsir ringkas:
1. Selain mendapat layanan istimewa dari pemuda-pemuda al-mukhalladun, ahli syurga di kalangan para al-sabiqun al-muqarrabun juga disantuni oleh bidadari yang sangat jelita berkulit mulus dan memiliki mata jeli. Dalam tafsir Jalalain menggambarkan mata jeli itu ialah hitam pekat pada bahagian yang hitamnya, putih bersih pada bahagian yang putihnya. Sudah tentu ia sangat menggoda dan mempesona.
2. Bidadari itu dibayangkan oleh al-Quran sangat anggun. Kebeningannya bagaikan mutiara yang tersimpan dan terlindungi. Sudah tentu mereka dijaga dan dipelihara dengan rapi dan suci kerana belum pernah disentuh oleh sesiapapun. Sememangya ia dicipta untuk bersiap sedia menanti kedatangan penghuni syurga yang layak baginya. Demikianlah bidadari itu, tidak ada cacatnya, bahkan sempurna sifatnya.
3. Namun demikian Dr Wahbah menyebut bahawa isteri-isteri mereka di dunia, Allah jadikan jauh lebih cantik daripada bidadari.
4. Demikianlah Allah SWT berikan kenikmatan itu sebagai balasan atas keimanan mereka kepada Allah dan kebaikan apa saja yang mereka kerjakan di dunia.
5. Syurga yang mereka diami tidak ada perkara yang sia-sia diperkatakan atau pun perkara yang menimbulkan dosa. Hanya ucapan salam yang penuh kehangatan berkumandang sesama penghuni syurga.
? Pengajaran:
1. Cukuplah kita sebagai hamba yakin segala amal kebaikan dan keburukan yang kita lakukan, kelak akan ada balasan di akhirat nanti.
2. Kewujudan bidadari di syurga adalah perkara yang dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran. Keindahan dan kejelitaannya tidak terfikir dek akal manusia. Bila disebut bidadari tentunya sangat berkait dengan kewanitaan. Dialah yang akan melayani dan menyantuni hamba-hamba Allah yang soleh termasuk suami-suami kita, insya Allah. Namun para wanita tidak perlu merasa cemburu kerana sekiranya mereka juga berusaha menjadi golongan al-muqarraabun, Allah akan menjadikan isteri-isteri solehah ini lebih anggun berganda-ganda daripada para bidadari. Isteri-isteri solehah inilah yang akan berdamping rapat dengan suami mereka yang soleh di syurga kelak.
3. Sepanjang kehidupan di dunia, para isteri sewajarnya mengalihkan rasa cemburu terhadap bidadari syurga bermata jeli dengan menjadikannya suatu motivasi untuk melengkapkan diri dengan ciri-ciri wanita syurga agar dapat terus kekal berdampingan dengan suami masing-masing di dalam syurga nanti.
4. Para suami pula, jagalah amanah perkahwinan, jaga isteri dan keluarga daripada api neraka. Jaga kehormatan perempuan-perempuan di dalam rumahnya dan bimbinglah mereka ke jalan Allah. Untuk mendapat layanan bidadari jelita tersebut, tidak semudah yang dibaca dan dibayangkan.
5. Binalah biah atau suasana yang baik di dalam rumahtangga dan masyarakat. Jalani kehidupan bersosial dengan interaksi dan pergaulan yang telah digariskan oleh syarak. Elakkan daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia, seperti gurauan atau perkataan yang tidak bermanfaat. Jauhi daripada mendengar perkataan dan nyanyian yang menimbulkan dosa.
6. Dalam membina jaringan silaturahim serta ikatan ukhuwwah, hidupkan budaya salam dan ringankan lidah untuk saling mengirim doa-doa yang menyejukkan buat saudara-saudara kita.
? Rujukan:
Tafsir Al-Kathir
Tafsir Jalalain
Tafsir al-Wajiz Dr Wahbah
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 Mei 2019 / 9 Ramadhan 1440