Oleh : Muhammad Salman Darwis
20 April 2019
KOTA BELUD : Kehadiran Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain bersama 3 orang Exco Pemuda Umno mencuri tumpuan pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Sabah kali ke-32 hari ini.
Kehadiran Pemuda Umno Sabah di Sunset Beach Restaurant, Kota Belud ini merupakan simbol penyatuan ummah yang dimulakan oleh kepimpinan tertinggi PAS dan Umno.
Abdul Aziz serta rombongan tiba kira-kira jam 9.30 pagi disambut Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin dan beberapa orang Exco Pemuda PAS dalam suasana penuh mesra.
Sebelum itu, Pemuda PAS dan Pemuda Umno pada November 2018 telah bekerjasama dalam pembentukan protem Ikatan Bumiputera Sabah bersama Pemuda PBRS serta beberapa NGO yang membawa isu ICERD.