Home Artikel PAS Pulau Pinang

Mesej kesatuan di HKU Bukit Mertajam

224 views
SHARE

Oleh: FADHLI SHAFIE

BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah mengadakan ceramah Himpunan Kebangkitan Ummah (HKU) yang dilangsungkan di Bukit Teh, di sini Ahad lalu.

Program ini berjaya mengumpul ramai ahli PAS dan Umno bersama memberi isyarat penyatuan ummah yang semakin utuh mutakhir ini sambil mendengar amanat pimpinan.

Dibuka dengan aluan Ketua PAS Cawangan Bukit Teh, Rosni Ibrahim, pentas ceramah digegar dengan pidato dari Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak.

Beliau dalam ucapannya mengemukan nasib dihadapi khususnya orang Melayu yang hak mereka semakin ditindas sejak pemerintahan bertukar pada PRU14 lalu.

Katanya, kerjasama kuat antara PAS dan Umno menerusi konsep ta’awun adalah untuk mempertahankan kedaulatan Melayu dan Islam serta perpaduan ummah.

Perkara sama turut disentuh penceramah jemputan iaitu Ketua Pemuda PAS Negeri Perak yang juga Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin.

Menurutnya, penyatuan kedua parti itu telah membawa kepada mercu kemenangan dalam beberapa siri PRK disebalik kekalahan Umno diterima pada PRU14 lalu.

Namun ujar beliau, perkara tersebut membawa hikmah sangat besar di mana memberi kesedaran untuk Umno bersama PAS atas nama Islam, kerana Allah memuliakan manusia dengannya.

Hal tersebut juga diakui Pengerusi Umno Negeri Pulau Pinang, Dato’ Musa Sheikh Fadzir bahawa kekalahan itu menyedarkan mereka perlunya orang Islam-Melayu bersatu.

“Kemenangan PH telah mengelirukan rakyat dengan janji-janji palsu dalam manifesto mereka. Masih belum ditunaikan. Nasib orang Melayu semakin ditindas.

“Khazanah dijual sedikit demi sedikit, pelaburan dipegang oleh orang bukan Islam. Sebab itu kita perlu jaga kepentingan Islam,” keluhnya yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Kemuncak himpunan digegarkan dengan pidato bersemangat oleh Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga Adun Penaga.

Beliau menyelar diskriminasi PH yang tidak membenarkan Adun bukan kerajaan masuk ke kawasan sekolah menghadiri sebarang program sepertimana juga oleh BN dahulu.

Pun begitu katanya, rakyat mula menunjukkan isyarat kebangkitan dan memberi amaran kepada Kerajaan PH untuk menolak mereka sebagaimana keputusan PRK mutakhir ini.

“Kita kena bekerja keras untuk memenangkan Islam. Anak-anak yang belum daftar pemilih, wajib kita suruh daftar. Supaya PRU15 nanti, kita buktikan PH tidak lagi relevan untuk memerintah Malaysia,” seru beliau.