Home Berita PAS Kedah

BESARNYA KISAH INI : GURU PASTI DAN ANGGOTA AMAL

4535
SHARE

Hari ini warga PASTI Negeri Kedah dikejutkan dengan berita kematian seorang Guru PASTI Kawasan Sik yang terlibat kemalangan semasa hendak menuju tempat berkhidmat di PASTI Az Zawiah Jeneri Sik Kedah.

Saya terus bergegas bersama beberapa teman dari PASTI dan Jabatan Amal ke Hospital Sik untuk bertemu keluarga arwah.

Arwah seorang guru muda yang belum berkahwin , kehilangan ayah beberapa tahun yang lalu dan juga kehilangan tok wan beberapa bulan yang lalu, ada adik seramai 5 orang ,dua daripadanya masih belajar,dan ibunya yang berniaga skrap.

Semasa berbual bersama ibunya , dengan nada yang redha pemergian anaknya yang diambil nyawa oleh Allah dalam fi sibillillah, ibunya menceritakan pada kami, begitu istiqamah selama 3 tahun menabur jasa dengan PASTI ,pernah satu ketika dihulurkan borang untuk pekerjaan yang lebih tinggi gajinya ,arwah menolak denga kata-kata “Sayang Nak Tinggal PASTI”.

Hati saya terus sebak memikirkan betapa sayangnya arwah kepada anak-anak PASTI Az Zawiah untuk melihat mereka lahir sebagai pejuang agama Allah, sehingga sanggup menolak kedudukan yang lebih baik.Adakah saya boleh mencapai ketinggian istiqamahnya? Hati terus sebak sambil menahan rasa sedih.Ramai diuji dengan nikmat harta dan imbuhan kekayaan, tidak ramai yang lulus ujian tersebut.

Usai solat jenazah, dalam perjalanan pulang bersama teman perjuangan, saya berbual dengan anggota Amal Kuala Kedah yang bersama kami, saya lontarkan alangkah beruntungnya Arwah Cikgu Siti Majidah yang istiqamah hingga nyawa dicabut, adakah nasib kita akan mendapat Husnul Khatimah sebegitu nanti?

Apa yang lebih mengharukan saya dalam suasana kepiluan , anggota Amal tersebut menjawab ” Sebab itulah saya selalu pakai baju Amal,mudah mudahan saya mati dalam berkhidmat sebagai anggota Amal”.

Saya terdiam membisu tanpa dapat berkata apa-apa sambil hati saya terus deras menangis,mahu saya menangis sepuas puasnaya nanti , adakah kedudukan dan jawatan kita dalam beramal fi sabilillah dapat menjamin kita mendapat Husnul Khaitimah?? Atau niat kita mati syahid fi sabilillah diqabulkan Allah? kereta sahabat saya terus meluncur laju menyaksikan masing-masing terdiam memikirkan apa nasib pengakhiran dalam melaksanakan amanah perjuangan Islam.

Nukilan Pilu Nurul Amin Bin Hamid
Pengarah Jabatan PASTI Negeri Kedah, Khadam kepada 900 lebih orang guru PASTI Kedah,14,300 lebih orang pelajar PASTI Seluruh Kedah.

22 Januari 2019