Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Azwar, Bekas Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Beransur Sembuh

1532
SHARE

Azwar, Bekas Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Beransur Sembuh

Sik, Kedah : Adik Muhammad Azwar bin Mohd. Ariff, bekas Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah terdahulu dilaporkan mengalami ketumbuhan di otak dan menjalani pembedahan sekitar November tahun lepas kini beransur pulih setelah menjalani 3 kali kimoterapi. Berbaki sekali lagi kimoterapi buat kali yang terakhir yang sepatutnya dijadualkan pada 2 Januari 2019, namun terpaksa ditangguh kerana masalah kurang darah putih. Difahamkan, adik Azwar harus mendapatkan pemeriksaan dari doktor pakar di Hospital Sultanah Bahiyah terlebih dahulu diikuti dengan Magnetic Resonance Imaging (MRI) pada 11 Februari 2019. Sekiranya kesihatan dan keputusan pemeriksaan mengizinkan, maka kimoterapi akan diteruskan. Jika sebaliknya, maka adik Azwar harus menyambung semula dengan radioterapi.

Pada 31 Disember 2018 baru-baru ini, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang diwakili oleh Puan Zulinda Khamis selaku ahli jawatankuasa (AJK) LKK DMPM bersama LKK DMP Negeri Kedah (DMPNK) telah menziarahi adik Azwar di kediaman ibu bapanya di No.46, Pondok Tn. Guru Hj. Salleh, Kampung Banggol Kiat, Sik kedah. Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Ustazah Fatimah Wan Teh selaku Timbalan Ketua DMPNK, Puan Norhasimah Abd Rahman selaku Pengerusi LKK DMPNK serta beberapa AJK LKK DMPNK dan AJK LKK DMPK Sik.

Dalam ziarah tersebut, adik Azwar kelihatan ceria ketika menyambut kedatangan rombongan ziarah dari DMPM dan DMPNK. Menurut Puan Zulinda, ketika ziarah adik Azwar kelihatan beransur pulih dan sedang berusaha untuk mengurus dirinya sendiri terutama ketika makan, dia cuba untuk menyuap diri sendiri tanpa bantuan sesiapa. Adik Azwar juga kini sedang menghadapi masalah penglihatan yang agak kurang jelas terutama mata bahagian kiri.

Apabila di tanya tentang impiannya, adik Azwar mempunyai hasrat dan impian yang tinggi iaitu dapat melihat semula dengan jelas dan pergi ke Mekah. Menurut ibu kepada adik Azwar iaitu puan Che Anisah binti Md. Saad, adik Azwar pada mulanya sukar menerima takdir yang menimpa dirinya dan sering bertanya mengapa Allah memberi ujian ini kepadanya. Sebagai ibu bapa, merekalah yang memainkan peranan untuk tidak pernah berputus asa memberi kata-kata motivasi kepada adik Azwar agar terus kuat dan bersangka baik pada Allah atas ujian ini. Bahkan, ujian ini bukan sahaja ditanggung oleh adik Azwar bersendirian, namun ianya juga ujian buat mereka sekeluarga.

Di akhir ziarah tersebut, Ustazah Fatimah Wan Teh menyerahkan sumbangan hasil kutipan daripada orang ramai yang dermawan kepada Encik Mohd Ariff B Ismail, ayah kepada adik Azwar. Semoga dengan sumbangan tersebut dapat membantu mengurangkan bebanan mereka sekeluarga menampung serba sedikit kos perubatan adik Azwar.

Kedua ibu bapa adik Azwar juga menitipkan harapan mereka agar adik Azwar segera sembuh seperti sediakala dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu serta mendoakan kesihatan adik Azwar.