MEMBUGAR KESEDARAN DAN MENYATUKAN TINDAKAN DALAM ISU PALESTIN.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Konferen meja bulat MyAqsa yang berlangsung di Putrajaya mengimpunkan ratusan sarjana Islam, ulama dan pemikir menjadi pemicu kebangkitan kesedaran tentang kepentingan tanah Palestin serta al Quds. Peserta- peserta konferen yang hadir daripada lebih 30 buah negara umat Islam, mewakili perbagai pertubuhan dan gerakan swadaya.
Dr Razak al Iskandari dari Pakistan menyentuh kepentingan al Quds dan menjadi milik semua umat Islam. Masjid al Aqsa yang menjadi tempat isra’ Nabi SAW dan bagaimana masjid ini yang disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran ( Surah Isra’ ayat pertama). Masjid al Aqsa menduduki tempat penting dalam senarai masjid utama Islam, selain masjidil haram dan masjid Nabawi. Tanah ini yang menjadi kiblat pertama ummat Islam sehinggalah berlakunya peralihan kiblat umat Islam pada tahun 2 hijrah.
Sheikh Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam membuat penegasan betapa pentingnya Palestin yang menjadi rebutan sejak zaman berzaman. Beliau merungkai sejarah Bani Israel semenjak zaman ar Rasul, seterusnya bagaimana bumi Palestin ini dirancang secara licik oleh gerakan Zionis untuk menjadi tempat berhimpun mereka.
Teodl Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang,namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.
Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam , dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwan Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.
Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath ( Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis.
Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza ,munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.
Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul bulan lepas, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.
Bagi penulis ,usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung . Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)