Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

SEFITRA 2018 Bentuk Sukarelawan Santuni LGBT

1063
SHARE

SEFITRA 2018 BENTUK SUKARELAWAN SANTUNI LGBT

UMMU AL-FATEH

AYER KEROH : Program Seminar Fitrah Sejahtera (SEFITRA) 2018 anjuran Lajnah Pendidikan dan Lajnah Dakwah DMPM, NGO Pertubuhan Nur Fitrah, AMNA, PASTI Malaysia, SRITI Malaysia serta Sahabat Muslimah Saidatina Aisyah yang telah berlangsung pada 14 dan 15 Disember berakhir dengan berjaya mengumpul 150 sukarelawan yang bersedia turun ke medan bagi menyantuni golongan LGBT.

Penasihat Program SEFITRA 2018 yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPM Dr Wahibah Tahir dalam perasmian penutup mengharapkan program ini telah membekalkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan para pendakwah kerana hanya dengan ilmu, dakwah bil hikmah terhadap golongan sasar yang bermasalah dapat direalisasikan.

Dr Wahibah turut menyeru para peserta untuk meningkatkan kualiti diri sebagai daie dan menguatkan pergantungan dengan Allah SWT sebagai persediaan sebelum turun membantu masyarakat dengan usaha amar makruf serta nahi mungkar.

Dalam slot Pengenalan LGBT, Dr Ahmad Solehin Ahmad telah menceritakan sejarah permulaannya yang berlaku pada zaman Nabi Lut hingga Allah memusnahkan mereka seramai 400,000 orang sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al Qurtubi.

Menurut beliau, jumlah LGBT tidak kurang banyaknya di Malaysia. Namun kita dilindungi dari azab disebabkan masih ada keberkatan ‘alim ulama yang giat dengan usaha-usaha dakwah amar makruf nahi mungkar.

Melalui slot Perkongsian Pengalaman Kes daripada golongan lesbian dan gay yang telah kembali kepada fitrah, para peserta didedahkan dengan kehidupan hitam mereka yang perit , menyebabkan tidak sewajarnya dunia gelap tersebut dilalui oleh generasi baru pada hari ini.

Sementara itu, Presiden NGO AMNA Dr Siti Aisyah Hassan melalui slot Pencegahan Menerusi Pendidikan Di Sekolah Dan Keluarga telah menekankan peranan kawalan institusi keluarga terhadap anak adalah lebih penting daripada peranan sekolah kerana peranan keluarga mempengaruhi 79% motivasi kepada anak.

Dr Siti Aishah juga berpesan agar kita menerima, memahami dan membantu golongan ini tanpa meletakkan syarat mereka mesti menerima nasihat kita. Sebaliknya kita hendaklah terus bersabar menunggu hingga Allah memberikan sinar hidayahNya kepada mereka.

Bagi slot Rawatan LGBT pula, Kaunselor Berdaftar Esa Abdul Samad berkongsi beberapa kaedah terapi diri kita terlebih dahulu sebelum kita menyantuni golongan LGBT. Ini dengan cara membetulkan pemikiran kita yang salah kerana daripada pemikiran akan menentukan apa yang kita rasa seterusnya membentuk tindakan yang wajar.

Menjelaskan peranan seorang terapis, beliau meminta peserta membina hubungan terapuetik dengan golongan LGBT yang mahu berhijrah melalui senyuman ikhlas dan meraikan golongan tersebut kerana hati mereka telah mahu berubah namun fizikal mereka masih belum berubah.

Slot Kemahiran Interaksi Dan Komunikasi Kes pula telah dikendalikan oleh Dr Ahmad Rostam Md. Zin dengan menjelaskan bahawa kita perlu membimbing golongan tersebut memberi jawapan terhadap persoalan mereka sendiri kerana orang lain tidak boleh menyelesaikannya melainkan diri mereka sendiri.

Selain itu, beliau menyarankan agar golongan ini perlu terus dibimbing hingga ke tahap mereka boleh memaafkan kesalahan orang yang mereka dendam kerana marah dan dendam adalah juga punca seseorang LGBT itu menjadi rosak.

Seminar kali ini turut dilengkapkan dengan sesi aktiviti Terapi Seni Ekspresif sebagai persediaan para peserta membina hubungan baik dengan golongan LGBT agar mudah diterima dan dipercayai.