Home Artikel PAS Wilayah

Ulamak Wilayah Rakam Takziah Buat Keluarga Muhammad Adeeb

97 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

TAKZIAH KELUARGA ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB
(17 Disember 2018)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ Subang Jaya bulan lalu. Beliau dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam ini.

2. Berita pemergian Allahyarham ke rahmatullah kami terima dengan penuh redha dan hiba. Kita menginsafi bahawa sesungguhnya takdir Allah SWT mengatasi segalanya walaupun semua kita berharap kesembuhan beliau. Ternyata beliau adalah insan yang dikasihi Allah dan dipilih untuk dijemput disisi Nya terlebih dahulu daripada kita semua.

3. Rakyat Malaysia menangisi pemergian beliau dengan penuh kesedihan. Beliau tercedera dan akhirnya meninggal dunia ketika sedang berkhidmat untuk rakyat dan negara dan kami mendoakan semoga beliau juga tergolong dari kalangan Syuhada di jalan Allah, sebagaimana rakan-rakan beliau yang terkorban ketika bertugas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong bulan Oktober 2018 yang lalu.

4. Disebalik kesedihan ini, kami juga merasa bangga kerana beliau adalah segelintir insan yang berani, cekal dan terus berjuang demi rakyat dan negara. Keberanian beliau menempuh dugaan dan halangan besar walaupun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri. Ini menunjukkan betapa tugas perkhidmatan awam seperti bomba, polis, tentera dan lain-lain adalah tugas mencabar, mulia yang menuntut kesabaran tinggi.

5. Akhirnya, DUPWP menuntut agar kesemua pesalah dalam kejadian rusuhan terbabit dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal. Kepada keluarga Allahyarham, kami mengharapkan agar mereka bersabar dengan ujian berat ini dan yakinlah bahawa sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai hikmah yang besar di sisi Allah SWT. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan disisi para solihin.

UST HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan

Link Rasmi Facebook Page Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2133490843368577&id=531907476860263