Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Osteosarcoma – Serahan Sumbangan Untuk Saudari Syuhaini

1205
SHARE

Osteosarcoma – Serahan Sumbangan Untuk Saudari Syuhaini

8 Oktober 2018, Jeli: Osteosarcoma merupakan salah satu jenis kanser tulang paling sering dijumpai menyerang kebanyakan remaja berusia 20 tahun ke bawah dan kanak-kanak. Kanser tulang jenis ini umumnya menyerang tulang-tulang berukuran besar pada bahagian yang memiliki tingkat pertumbuhan tercepat.

Hal demikian, osteosarcoma biasanya berkembang di peringkat remaja kerana pada peringkat ini pertumbuhan tulang berada dalam fasa paling cepat. Jadi risiko seseorang mengidap osteosarcoma meningkat pada masa pertumbuhan tulang.

Osteosarcoma juga termasuk kanser  yang agresif, namun kebanyakan pesakit boleh disembuhkan dengan kombinasi beberapa metod perubatan. 

Pada 27 September 2018 yang lalu, telah tular berita tentang seorang remaja  perempuan iaitu Saudari Syuhaini  telah disahkan menghidap osteosarcoma melalui akhbar Sinar Harian:

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/gadis-derita-kanser-tulang-perlu-dana-perubatan-1.884581

Saudari Syuhaini yang berasal dari Jeli, Kelantan ini juga merupakan salah seorang anggota Briged Muslimat Kawasan Jeli. Remaja berusia 20 tahun ini katanya, semasa ditemubual Akhbar Sinar Harian bulan lepas, dia sepatutnya menjalani pembedahan pada 26 September 2018 , namun disebabkan kos yang diperlukan masih belum mencukupi, pembedahan tersebut  terpaksa ditunda kepada 10 Oktober ini.

“Kos sebenar sebanyak RM32,200, dengan bantuan pihak hospital sebahagiannya sudah ada, dan kami hanya perlu sediakan RM15,000 lagi,” katanya. 

Sejurus selepas tularnya berita ini, pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil tindakan segera bagi membantu saudari Syuhaini agar dapat menjalani pembedahannya pada tarikh yang telah ditetapkan.

Melalui poster sumbangan yang dikeluarkan oleh pihak LKK DMPM pada 28 September 2018 yang lalu, pihak LKK DMPM dengan serta merta dihujani dengan mesej daripada para penyumbang yang dermawan dan prihatin melalui aplikasi Whatsapp. 

Justeru itu, dengan wang  sumbangan yang  telah terkumpul selama kurang dari sebulan ini, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah berangkat sendiri ke Jeli Kelantan bagi menyerahkan sumbangan orang ramai tersebut kepada Saudari Syuhaini.

Ziarah semalam, 7 Oktober 2018 itu  juga turut dihadiri oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, YB Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff, Datin Speaker, Ustazah Rowiyah Ghazali, Muslimat PAS Kawasan Jeli dan beberapa sahabat Briged Muslimat Kelantan.

Ustazah Nuridah dan YB Siti Zailah memberi kata-kata semangat kepada Saudari Syuhaini agar terus kuat melawan kanser tersebut dan semoga pembedahannya beberapa hari lagi berjalan dengan lancar. Mereka yang hadir juga turut mendoakan semoga saudari Syuhaini diberikan kekuatan dan kesembuhan buat selama-lamanya.