TAKZIAH, PENGORBANAN 6 ANGGOTA BOMBA ADALAH MULIA
Berita kematian 6 anggota bomba yang ditular sejak semalam amat memberikan kesan yang mendalam kepada semua rakyat Malaysia. Pastinya kesedihan menyelubungi setiap hati rakyat kerana mereka bukan sekadar mati lemas begitu sahaja namun mereka adalah berkorban demi seorang mangsa dalam misi menyelamat.
Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.
Pengorbanan mereka layak mendapat pujian yang tinggi dan sememangnya ia terpuji di sisi Islam. Sememangnya kita meyakini tugasan penyelamat adalah tugasan baik yang menurut perintah agama. Maka ia dapat diambil kefahaman asas bahawa pengorbanan mereka termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
{وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ}
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.” [Surah al-Baqarah: 207]
Dewan Ulamak PAS Pusat mendoakan kesemua anggota bomba tersebut, layak mendapat syahid di sisi Allah sebagaimana hadits Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:
«الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ»
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” [hadith riwayat al-Bukhari]
Adalah amat wajar bagi pihak kerajaan dan Jabatan Bomba Malaysia untuk memastikan setiap ahli keluarga mangsa mendapat sumbangan yang berpatutan bagi meringankan beban yang dipikul oleh ahli keluarga mangsa.
Di samping itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak semua umat Islam untuk mendoakan keampunan kepada seluruh mangsa korban agar ruh mereka dicucuri rahmat dan mendapat kedudukan mulia yang di sisi Allah.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِجَمِيْعِ المَوْتَى الَّذِيْنَ شَهِدُوْا لَكَ بِالْوَحْدَانِيَّةِ، وَلِنَبِيِّكَ بِالرِّسَالَةِ, وَمَاتُوْا عَلَى ذَلِكَ. اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وَعَافِهِمْ وَاعْفُ عَنْهُمْ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُمْ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُمْ وَاغْسِلْهُمْ بِالمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ وَنَقِّهِمْ مِنَ الذُّنُوْبِ وَالخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَجَازِهِمْ بِالحَسَنَاتِ إِحْسَانًا، وَبِالسَّيِّئَاتِ عَفْوًا وَغُفْرَانًا
“Ya Allah, ampunilah segala kesalahan bagi semua mangsa korban tersebut, mereka telah bersaksi dengan sungguh-sungguh akan ke Esaan-Mu dan risalah Nabi-Mu serta mereka meninggal dalam keadaan demikian. Ya Allah, ampuni dan rahmatilah mereka, maafkan semua kealpaannya, muliakan tempat tinggalnya, luaskan kediamannya, bersihkan mereka dengan air, salji dan air sejuk. Bersihkan mereka dari berbagai dosa dan kesalahan sebagaimana pakaian putih yang dibersihkan dari kotoran. Dan balaslah amal kebaikan mereka dengan kebaikan pula, dan amal buruk mereka dengan ampunan.”
“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”
USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
24 Muharram 1440 / 4 Oktober 2018