Minda Presiden PAS
Surat Terbuka kepada Mereka Yang Mengambil Berat Urusan Umat Islam
APABILA AKAL MANUSIA LEBIH DANGKAL DARI ILMUNYA
Kita kini berada pada era kemajuan dalam segenap perkara, sehingga bumi ini seakan dunia yang kecil sahaja melihat kepada kepesatan teknologi, media massa, pemberitaan, penyebaran maklumat, hubungan komunikasi dan pengangkutan kesemuanya. Tampak sudah tiada bezanya antara kebenaran dan pembohongan, antara hak dan batil, antara yang istiqamah dengan Islam dan yang berada dalam kesesatan. Sehingga fitnah ini tersebar dalam masa yang sangat pantas dan perjalanan yang singkat.
Menjadi peranan para ulama yang telah mewarisi amanah para nabi, yakni untuk menjadi contoh ikutan terbaik dalam menggalas amanah ilmu dan hikmah dalam menyampaikan, mengajar, memberi peringatan dan memandu umat. Mereka berperanan menggerakkan dakwah dengan penuh bijaksana, dalam masa yang sama berusaha menyedarkan masyarakat Islam yang telah tenggelam dalam lautan fitnah seperti berada dalam kepekatan malam yang gelap gelita. Bahkan, para nabi itulah yang menjadi contoh ikutan lagi kerana mereka itu bersifat rabbani. Malahan mereka tidak takut terhadap celaan para pencela dan mereka tetap istiqamah serta tidak mengikuti jalan orang-orang yang jahil.
Tidak sepatutnya bagi orang yang berilmu mengambil pendirian yang bersifat bermuka-muka, ibarat pepohon yang lemah terkadang ia condong ke timur, terkadang ke barat, sesekali ke utara dan kadang kala ke selatan kerana mengikut arah tiupan angin dan musim yang mendatang. Pepohon yang lemah itu hanya tunduk mengikut arah tiupan angin, tercabut dipukul ribut taufan yang menghancurkan segala yang berada dalam laluannya serta menenggelamkan segala kapal yang dipukul ombak badainya.
Namun demikian, apa yang berlaku kepada orang yang berilmu ialah akalnya terletak pada kemahuan perutnya dan bukan lagi di kepalanya (akal terikat pada kebendaan bukan ilmu). Akal tidak lagi mendatangkan manfaat ilmunya kepada si pemiliknya serta tidak dapat dimanfaatkan lagi oleh orang di sekelilingnya. Demikianlah andai akalnya lebih dangkal dari ilmunya.
Golongan ini berbicara dengan manusia akan kebenaran tetapi dengan bermotifkan kebatilan sehingga mereka tegar memperkecilkan dosa yang besar dan diam membisu terhadap kemungkaran. Bahkan mereka itu menunjukkan kemarahan terhadap sebarang usaha menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Mereka juga menghalang para khatib daripada berkhutbah (menyampaikan kebenaran) di mimbar-mimbar serta mengawasi majlis-majlis ilmu di sekitar masjid-masjid dengan cara mengintip mencari-cari kesalahan.
Mereka juga memenjarakan para khatib dan pemberi peringatan di masjid-masjid semata-mata untuk memelihara keamanan para pemerintah dan penguasa serta menyekat jalan orang-orang yang mendapat petunjuk. Mereka ini bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan serta takut pula kepada sebarang usaha tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.
Andainya orang yang berilmu itu membisu kerana menyembunyikan kebenaran dan orang jahil terus berada dalam kejahilan, maka bilakah kebenaran itu akan terserlah? Jika sekiranya orang yang membisu terhadap kebenaran itu dianggap sebagai syaitan bisu, maka bagaimanakah pula keadaan orang yang membenci perbuatan menyuruh kepada yang makruf dan menegah perkara yang mungkar?
Tidak selayaknya bagi orang yang berilmu lagi bijaksana itu tidak memahami bahawa kemajuan itu tidaklah berlaku dengan mengikut sunnah rekaan manusia dan peraturan-peraturan yang sesat serta sistemnya yang mencanggahi petunjuk Rabbani yang selari dengan ketetapan Allah Yang Maha Mengetahui. Tiada ruang bagi kebatilan untuk datang menyusup dari arah depan atau belakang.
Rasulullah S.A.W. juga telah menetapkannya, bahawa hikmah kebijaksanaan itu adalah barang hilang milik orang Mukmin, di mana jua dia menjumpainya maka ia lebih berhak untuk mengambilnya. Itulah ilmu yang bermanfaat, pengetahuan yang bersifat positif serta tidaklah pula termasuk perbuatan menyerupai sesuatu golongan yang menghalalkan dalam semua perkara atas nama kebebasan mutlak. Antaranya seperti meringan-ringankan pergaulan antara lelaki dan perempuan, memperbanyak panggung wayang, pertandingan nyanyian serta lakonan yang membuka pintu kemungkaran. Sehingga mudah untuk syaitan dalam kalangan jin dan manusia membisikkan perasaan was-was dalam diri manusia. Sehingga perlumbaan kuda dan unta bertukar menjadi pertandingan lumba kereta dengan wanita menjadi habuan.
Wahai para ulama yang menjadi penawar bagi mengubati penyakit yang melanda sesebuah negara, bagaimanakah hendak mengubati penyakit itu andai ubatnya itu sendiri telah rosak? Allah S.W.T. berfirman:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ (78) كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (79(
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh; Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-Maidah: 78-79)
Berdasarkan kaedah dalam syarak yang menggariskan bahawa pengajaran itu diambil dengan lafaz yang umum dan bukan kerana sebab tertentu. (Pelajaran dari ayat di atas diambil secara umum).
Hadis berikut menjelaskan lagi maksudnya:
عَنْ حذيفةَ رضي اللَّه عنه أَنَّ النَّبيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ: “والَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بالْمعرُوفِ، ولَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ، أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّه أَنْ يَبْعثَ عَلَيْكمْ عِقَاباً مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجابُ لَكُمْ “رواه الترمذي وَقالَ: حديثٌ حسنٌ.
Dari Huzaifah bin al-Yamani R.A., dari Nabi S.A.W. bahawa Baginda bersabda: “Demi yang jiwaku di tangan-Nya, sungguh kalian harus menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah dari berlaku kemungkaran atau Allah akan mempercepatkan azab-Nya lalu kalian berdoa akan tetapi ia tidak dikabulkan”. (Riwayat Imam At-Tirmizi dengan status hasan)
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “…كلا والله لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر ولتأخذن على يد الظالم ولتأطرنه على الحق أطرا ولتقصرنه على الحق قصرا أو ليضربن الله بقلوب بعضكم على بعض ثم ليلعننكم كما لعنهم”. رواه أَبُو داود، والترمذي وَقالَ: حديث حسن.
Dari Abdullah bin Mas’ud R.A., bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “… Tidak demi Allah! Kalian hendaklah menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan kalian hendaklah mencegah perbuatan mereka yang zalim, mengajaknya untuk mengikuti jalan yang benar atau kalian paksa mereka untuk mengikut jalan yang benar. Atau Allah akan memecah belahkan hati-hati sebahagian dari kalian dengan sebahagian yang lain, atau Allah akan melaknat kalian seperti Dia melaknat mereka”. (Riwayat Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
Sebagai penutup, kita ucapkan apa yang pernah diungkapkan oleh Nabi Musa A.S. sebagaimana firman Allah:
رَبِّ لَوْ شِئْتَ أَهْلَكْتَهُم مِّن قَبْلُ وَإِيَّايَ أَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ السُّفَهَاءُ مِنَّا إِنْ هِيَ إِلَّا فِتْنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَاءُ وَتَهْدِي مَن تَشَاءُ أَنتَ وَلِيُّنَا فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الْغَافِرِينَ (155) ]سورة الأعراف: 155[
“Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.” (Surah Al-A’raaf: 155)
Wahai Tuhan kami! Berikanlah rahmat kepada kami di sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.
Saudara kalian,
ABDUL HADI AWANG
Malaysia
(Surat ini telah dihantar kepada pemimpin dunia Islam dan para ulama dengan judul asalnya dalam Bahasa Arab bertajuk: رسالة مفتوحة إلى من يهتم بأمر المسلمين : إذا كان العقل أصغر من العلم)