Home Artikel PAS Negeri Sembilan

PAS Umum Bertanding Dalam Pilihanraya Kecil P132 Port Dickson

2824
SHARE

PAS UMUM BERTANDING DALAM PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON

Presiden PAS, YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson, dalam sidang media beliau malam tadi.

Pengumuman yang dibuat usai mesyuarat jawatankuasa harian PAS Pusat itu mengambil kira faktor menghidupkan suasana demokrasi dan memberi pilihan terbaik kepada pengundi, walaupun pada asasnya PAS tidak setuju dengan tindakan tidak demokratik yang mengosongkan kerusi Parlimen/DUN untuk memberi peluang kepada individu lain bertanding.

Sehubungan itu, PAS akan mengadakan majlis pengisytiharan calon PAS Parlimen Port Dickson pada hari Khamis malam, 27 September 2018.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa keputusan PAS ini adalah rentetan daripada tindakan PAS yang pada asalnya memberi ruang kepada parti pembangkang yang lain seperti UMNO dan MIC, namun akan bertanding sekiranya parti berkenaan tidak menghantar calon.

Beliau juga turut mengumumkan Naib Presiden III PAS, Datuk Iskandar Ab Samad yang juga Pemantau bagi wilayah selatan, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kecil PAS Parlimen Port Dickson, manakala Naib Presiden I PAS, Ustaz Idris Ahmad sebagai timbalan.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi; dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffa Daharun.

Parlimen P132 Port Dickson diisytiharkan kosong selepas tindakan tidak demokratik – peletakan jawatan ahli parlimennya dari PKR, Dato Danyal Balagopal Abdullah.

Terdahulu dalam sebuah kenyataan media, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon akan diadakan pada 29 September 2018 dan mengundi pada 13 Oktober 2018. Anggaran peruntukan bagi menjalankan pilihan raya kecil ini adalah RM 3.6 juta.