Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Kedah telah mengadakan Kembara Ilmu MGPNK Siri 5 pada 7 hingga 8 September yang lalu.
Destinasi program kali ini adalah negeri Perlis dengan disertai oleh seramai 25 orang peserta.
Ketibaan mereka telah disambut oleh MGP Negeri Perlis yang diketuai pengerusinya Nor Hayati Abd Razak.
Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti melibatkan MGP kedua-dua buah negeri telah diadakan, antaranya lawatan ke PASTI Al Furqan di Pauh, Gua Kelam dan Padang Besar, aktiviti di Muzium Kota Kayang serta meninjau proses penghasilan belacan di Kuala Perlis.
Selain itu, para peserta program juga berkesempatan mengadakan kunjungan ke atas Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis, Puan Hajah Latifah Bt Mat di kediaman beliau.
Menurut Pengerusi MGP Negeri Kedah, Jawariah Mohd Yakin, program seumpama ini bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman menerusi penglibatan dalam aktiviti-aktiviti luar di samping mengeratkan lagi hubungan antara MGP kedua-dua buah negeri berjiran ini.
“Selain itu, kita juga berhasrat memperluaskan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negeri termasuklah dalam aspek perancangan serta penganjuran program bersama pada masa yang akan datang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi MGP Negeri Perlis, Nor Hayati Abd Razak pula berkata, program kembara sebegini turut membolehkan pihaknya bertukar-tukar idea, pengalaman serta kepakaran dengan MGP Negeri Kedah bagi meningkatkan lagi prestasi PASTI seluruh negeri Perlis.
“Kita berterima kasih kepada MGP Negeri Kedah yang sudi melawat ke negeri ini dan berharap agar jaringan kerjasama yang sedia terjalin dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.