MENGHAYATI KEMERDEKAAN HAKIKI
Islam datang sebagai penyelamat manusia daripada kegelapan jahiliyah dan kepincangan hidup. Manusia yang sejahtera dan memiliki hati merdeka ialah mereka yang sentiasa berada di atas landasan kebenaran. Kebenaran wajib diperjuangkan sekalipun berhadapan cabaran yang getir. Allah menunjukkan jalan kebenaran kepada hamba-Nya yang beriman dan sentiasa mencari kebenaran. Sesudah kebenaran itu sudah jelas, maka siapa yang ingin berpaling daripadanya akan disenaraikan dalam golongan yang kufur terhadap tuntutan Allah. Firman Allah SWT:
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat tinggal.” [Al-Kahfi: 29]
Apabila kita mengingatkan tentang hari kemerdekaan, maka penghayatan terhadap kemerdekaan hakiki mesti diberi perhatian serius. Kemerdekaan sebenarnya sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara daripada cengkaman kuasa asing. Hakikatnya, cengkaman kuasa asing terus berlaku di zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini bahkan lebih mudah untuk penjajah mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi serta sistem sosial masyarakat negara kita.
Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bina jati diri dengan teguh dan jangan mudah menjadi ‘pak turut’ pihak yang tidak bertanggungjawab yang merosakkan kesejahteraan negara kita. Sayangilah Malaysia daripada anasir penyelewengan aqidah, doktrin yang sesat dan gejala sosial yang semakin parah. Di sinilah para pemimpin negara perlu serius untuk membangunkan Malaysia dengan acuan Islam yang sudah pasti akan menyelamatkan ummah. Pemerintahan Islam sejak daripada zaman Rasulullah SAW sehingga Khilafah Othmaniyah telah membuktikan bahawa masyarakat dapat dibangunkan dengan harmoni antara sesama kaum dan ekonomi rakyat dapat dijana dengan seadilnya.
Tegasnya, Islam sangat menekankan aspek ketakwaan yang menjadi KPI utama dalam melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab dan rakyat yang cintakan kedamaian dan kebaikan kepada negara. Jika seluruh rakyat Malaysia meletakkan ketakwaan ini sebagai teras, Allah SWT akan mengurniakan keberkatan, keharmonian dan kesejahteraan berpanjangan kepada negara kita. Firman Allah SWT:
وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ الْقُرٰٓى اٰمَنُوْا وَاتَّقَوْا لَـفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَالْاَرْضِ وَلٰـكِنْ كَذَّبُوْا فَاَخَذْنٰهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ
Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.”
[Al-A’raf: 96]
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 61.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”
USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
19 Zulhijjah 1439 / 31 Ogos 2018