Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua perwira di atas pengorbanan yang telah dicurahkan untuk Malaysia negara tercinta kita. Hari Pahlawan diadakan saban tahun bagi mengingati jasa perwira negara berjuang untuk kedaulatan dan kemerdekaan tanah air.
Hari Pahlawan disambut dalam fasa menuju bulan kemerdekaan yang diadakan pada bulan Ogos. Semarak cintakan negara dan menghargai hasil keringat pejuang tanah air sangat dituntut dalam Islam. Nikmat kemerdekaan yang dirasai generasi kini patut dihargai dengan rasa kesyukuran terhadap Allah SWT kerana Dialah yang mengangkat kemuliaan sesuatu kaum dan bangsa untuk hidup dengan aman tenteram.
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya” [Q.Surah Al-Anfal:60]
Para perwira negara sentiasa berhadapan dengan tribulasi dan ancaman ketika bertugas di perbatasan negara. Mereka juga berkhidmat untuk menjaga keamanan dan keselamatan awam tanpa mengira kaum,bangsa dan agama.Para tentera,parajurit, anggota polis, bomba, pihak keamanan dan keselamatan adalah pahlawan negara yang kita tidak boleh nafikan khidmat bakti mereka
Justeru itu, tanggungjawab generasi abad ini adalah untuk mengisi pembangunan negara dari sudut spiritual,intelektual dan fizikal sebagai langkah membawa negara kita ke arah keredhaan Allah SWT. “Bersemangatlah untuk mengerjakan sesuatu yang bermanfaat bagi dirimu.” Ini antara wasiat Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam kepada umatnya. Semoga para Pahlawan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus berbakti dan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan ikhlas dan didoakan negara Malaysia sentiasa dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.
Terima kasih Pahlawan!
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
18 Zulkaedah 1439 H bersamaan 31 Julai 2018