Home Berita PAS Pahang

Pahang cuti hari Jumaat dipertimbang – Pemangku Raja

1599
SHARE
Tengku Abdullah bersama Ustaz Rosli dalam majlis bacaan Yaasin dan doa selamat di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota. Turut kelihatan bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Adun-Adun PAS yang lain turut hadir

 

Cuti pada hari Jumaat yang diusulkan oleh Adun Tanjung Lumpur yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) minggu lalu, mendapat respon daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah.

 

Dalam satu majlis di Jerantut kelmarin, baginda bertitah cadangan menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana ia memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dipertimbangkan.

 

Baginda bertitah kajian dan tinjauan itu perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah serta meliputi pelbagai agama yang akan tertakluk kepada perubahan itu.

 

“Saya perlukan masa untuk membuat tinjauan sebelum memberikan pendirian kerana kita tidak pernah membincangkan isu cuti Jumaat sebelum ini.

 

“Kalau melihat pada penerimaan di dewan ada yang pro dan ada yang kontra…di situ sahaja juga sudah ada gambarannya,” titah baginda ketika ditemui selepas berkenan berangkat ke Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang (BAKKEP) Tahun 2018 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini.

 

Turut hadir bermesyuarat, paduka anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

 

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika diminta mengulas usul Ustaz Rosli semasa persidangan DUN pada Selasa, untuk menukar cuti hujung minggu bermula pada Jumaat, berbanding Sabtu dan Ahad yang dilaksanakan masa ini.

 

Rosli ketika itu berkata, antara lain ia akan memudahkan umat Islam mengerjakan solat Jumaat, selain dapat mewujudkan keharmonian kaum, jika terdapat pekerja Islam pulang ke pejabat agak lewat selepas solat.

 

Terdahulu, Tengku Abdullah merangkap Yang DiPertua BAKKEP mempengerusikan mesyuarat tahunan persatuan tersebut yang diikuti majlis santapan dan makan tengah hari bersama kira-kira 250 orang ahli yang hadir pada mesyuarat yang bermula pykul 11.30 pagi.

 

Turut hadir sebagai tetamu pada majlis santapan dan makan tengah hari ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Nazri Ngah, Ahli Dewan Undangan Negeri Damak dan Pegawai Daerah Jerantut dan YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza binti Ku Lah.