12 Julai 2018, Kedah : Mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada tanggal 10 Ramadhan bersamaan dengan 26 Mei 2018, kita dikejutkan dengan satu berita kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal di Jalan Kg Syed Ahmad, Sungai Tiang, Pendang Kedah. Kemalangan tersebut telah mengorbankan seorang bapa, Zulkifly bin Abu Bakar, manakala anaknya Muhammad Anas Qhuzairy, 13 tahun terselamat dan mengalami cedera parah.
Adik Muhammad Anas Qhuzairy kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, dilaporkan telah mengalami pendarahan di kepala, kecederaan pada hati dan patah tangan. Dia dibenarkan pulang ke rumah dalam keadaan separa sedar dan perlu minum susu khas melalui tiub.
Mangsa korban, Almarhum Zulkifly telah meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak yang kesemuanya masih bersekolah. Lebih menyedihkan lagi isterinya, Noorlela binti Ismail tidak bekerja dan hanya berharap kepada pendapatan suaminya. Keadaan bertambah terdesak apabila Adik Muhammad Anas sangat memerlukan perhatian rapi dan keperluan seperti pampers dan susu khas yang memerlukan belanja sangat tinggi. Jika dilihat dengan mata kasar kita, adik Muhammad Anas kelihatan normal namun, hakikatnya beliau masih bergantung pada tiub untuk makan dan minum, malah masih belum boleh duduk dengan sempurna.
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) turut bersimpati dan prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga ini.
Justeru, LKK DMPM dengan kerjasama LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah (DMPNK) telah mengambil inisiatif bagi membantu semampunya bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh Puan Noorlela.
Semalam, 11 Julai 2018 rombongan LKK DMPM dan LKK DMPNK telah menziarahi Noorlela di kediaman beliau. Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah ahli jawatankuasa LKK DMPM, Puan Zulinda Khamis, Ketua LKK DMPNK, Puan Norhashimah Abd Rahman, serta beberapa lagi ahli jawatankuasa LKK DMPNK. Tujuan ziarah itu juga selain mengikuti perkembangan kesihatan adik Muhammad Anas, adalah untuk menyampaikan sumbangan bagi pihak orang ramai yang dermawan yang turut prihatin dengan apa yang menimpa adik Muhammad Anas sekeluarga.